TERIMA KASIH

Pemuda maut kereta dilanggar lari dari belakang



Keadaan kereta Perodua Myvi yang remuk teruk selepas terbalik beberapa kali. Gambar kecil : Fung

KOTA KINABALU: Seorang pemuda berusia 22 tahun meninggal dunia di Hospital Queen (QEH) sejam selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari di Jalan Kepayan, berdekatan dengan terminal keretapi Tanjung Aru, pagi semalam.

Fung Ching Wei dari Kampung Muhibbah, Jalan Kuhara, Tawau, disahkan meninggal dunia pada pukul 1.50  pagi di hospital berkenaan, sejam selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki bersama seorang lagi penumpang, dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan pada pukul 12.50 pagi.

Dipercayai mangsa dan penumpang, juga berusia 22 tahun, sedang dalam perjalanan ke Putatan dari ibu negeri apabila sebuah kenderaan melanggar belakang kereta mereka. Berikutan itu, mangsa hilang kawalan keretanya yang kemudian terbabas dan terbalik beberapa kali.

Kenderaan yang melanggar kereta mangsa memecut meninggalkan tempat kejadian.

Fung yang pada mulanya tersepit di tempat duduknya berjaya dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat beberapa minit kemudian. 

Mangsa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan namun meninggal dunia sejam kemudian.

Penumpang kereta pula hanya mengalami cedera ringan dan dirawat di hospital yang sama.

Ketua Polis Bandaraya ACP Jauteh Dikun berkata, polis masih menjalankan siasatan dan sedang mengesan kenderaan yang terbabit.

Beliau meminta saksi supaya tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber The Borneo Post 25 Mei 2013

Lelaki maut, pemandu larikan diri

Keadaan kereta Proton Iswara yang melanggar sebuah van menyebabkan penumpang kereta maut

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 41 tahun meninggal dunia selepas kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki bersama rakannya merempuh sebuah van di Jalan Tuaran, berdekatan persimpangan lampu isyarat Putrajaya Telipok di sini pagi semalam.

Edwin Luis Kampung Kiawayan, Tambunan dikejarkan ke Hospital Tuaran selepas mengalami cedera parah dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu namun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi kira-kira 2 jam kemudian.

Kedua-dua kenderaan dipercayai sedang menuju ke Tuaran dari pusat bandar apabila van yang dinaiki tujuh orang itu membelok ke kiri di persimpangan Taman Putrajaya.

Dilaporkan pemandu kereta Proton Iswara berkenaan melarikan diri serta merta selepas perlanggaran tersebut meninggalkan keretanya.

Tujuh penumpang van terbabit termasuk pemandu, berusia dari 14 hingga 52, hanya cedera ringan.

Polis sedang mengesan pemandu kereta Proton Iswara terbabit dan meminta saksi supaya tampil untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber The Borneo Post 25 Mei 2013



Pemandu teksi maut, penumpang parah


HULU SELANGOR - Seorang pemandu teksi, Johar Abu Seman, 46, maut apabila kenderaan dipandu bertembung dengan sebuah lori di kilometer 5, Jalan Sungai Choh, Bukit Beruntung di sini awal pagi tadi.

Mangsa maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan tersepit di tempat duduk.

Menurut jurucakap polis, ketika kejadian terdapat seorang penumpang di dalam teksi tersebut dan dia dilaporkan parah.

Difahamkan, teksi yang dipandu mangsa datang dari Sungai Choh dan hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori.

Mayat dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat. - KOSMO!

25 Mei 2013

Dua maut, dua parah selepas van dinaiki bertembung dengan lori


SIPITANG - Kegembiraan empat sahabat yang baru pulang dari gereja bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas van yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Jalan Sipitang-Tenom dekat Kampung Muaya di sini malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 malam itu pemandu van, Richard Asir, 42 dan penumpang hadapan Ellen Upai, 43 meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Sipitang, Deputi Superintendan Mustapha Othman berkata, dua lagi rakan mangsa yang turut berada dalam kenderaan tersebut mengalami cedera parah.

Katanya, mereka yang cedera dikenali sebagai Mariana Yotong, 35 serta Emmy Jain, 27. - KOSMO!

25 Mei 2013


Anggota Rela Koma Selepas Dilanggar Mat Rempit



IPOH: Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) cedera parah di bahagian kepala selepas dilanggar seorang penunggang motosikal dalam operasi bersepadu penguatkuasaan jalan raya di Jalan Pasir Puteh di sini awal pagi Sabtu.

Mangsa Teong Yoon Meng, 44, yang merupakan seorang mekanik, kini berada dalam keadaan koma selepas menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata dalam kejadian 3.45 pagi itu, polis dapat menahan motosikal itu namun suspek dapat melarikan diri.

Usaha menjejaknya sedang dilakukan, katanya.

Beliau berkata operasi yang disertai 26 anggota polis, empat anggota Unit Kereta Peronda, 10 anggota Polis Sukarelawan Simpanan, 30 anggota Rela dan lapan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan itu bermula 11 malam hingga 4 pagi Sabtu.

Lebih 20 penunggang motosikal dan 60 pemandu kenderaan diperiksa dalam operasi itu dengan saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, tiada insurans, melanggar lampu isyarat dan ekzos motosikal diubah suai. -BERNAMA

25 Mei 2013

Pengunjung dijumpai mati di Pantai Mataking


SEMPORNA: Seorang wanita keturunan Cina ditemui mati di Pantai Mataking pada Ahad.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC Omar Mamah berkata, wanita tersebut ditemui oleh seorang pengawal keselamatan dari sebuah resort dan telah dihantar ke Hospital Semporna dimana dia disahkan sudah meninggal dunia.

Beliau berkata tiada kesan pergelutan atau kecederaan pada mangsa dan kemungkinan punca kematian mangsa disebabkan lemas.

Mangsa difahamkan berasal dari Kuala Lumpur dan sedang bercuti di sebuah resort di situ.

Dikatakan mayatnya ditemui dibelakang sebuah chalet yang disewanya dan mayat dihantar ke Hospital Tawau untuk dibedah siasat.

Sumber The Borneo Post 22 Mei 2013


Wanita maut, motosikal dilanggar dari belakang oleh pemandu mabuk


LABUAN -  Seorang wanita berusia 28 tahun terbunuh di tempat kejadian selepas motosikal Modenas Kriss yang ditunggangi dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu oleh seorang lelaki berusia 26 tahun pada kira-kira pukul 10.25 malam Selasa di Jalan Kinabenua.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Adzhar Othman berkata semalam, mangsa dikenali sebagai Salmah Kadir dan bekerja sebagai pengawal keselamatan. Mangsa dilaporkan dalam perjalanan ke tempat kerja apabila kejadian berlaku.

“Mangsa disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di kepala kerana pendarahan otak. Pemandu kereta tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Dia didapati memandu di bawah pengaruh alkohol selepas ujian pernafasan menunjukkan tahap alkohol dalam badannya 148mg/100ml. Jika didapati bersalah di mahkamah, dia boleh dipenjarakan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM10,000,” katanya.

Adzhar menasihatkan para pemandu di sini supaya tidak memandu ketika berada di bawah pengaruh alkohol untuk mengelak kemalangan.

Mayat mangsa dihantar ke sehospital untuk dibedah siasat.

Sumber The Borneo Post 25 Mei 2013




Ibu tunggal berkorban demi anak


Zuriani (kanan) menemani anaknya ketika mengambil sumbangan dermasiswa bakti di pejabat MCA Kuantan, semalam

KUANTAN – Seorang ibu tunggal, Zuriani Yusof, 39, sanggup mengetepikan kepentingan diri sendiri termasuk menolak hasrat untuk berkahwin lagi demi masa depan anaknya.

Sejak suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya 10 tahun lalu, Zuriani mengambil-alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga dalam membesarkan anak tunggalnya, Nur Hanim Saifulazman, 17.

Zuriani berkata, dia tidak berhasrat mencari pasangan hidup buat masa sekarang walaupun anaknya tidak menghalang.

Menurutnya, walaupun bukan mudah membesarkan anak seorang diri, namun dia reda dan akan menempuhi segala cabaran serta dugaan demi masa depan anaknya.

“Saya tidak bekerja dan perbelanjaan harian kami dua beranak adalah hasil bayaran Perkeso arwah suami. Kalau nak kahwin lain, biarlah anak saya berjaya ke menara gading terlebih dahulu. Besar harapan saya untuk melihat masa depannya cerah.

"Tambahan pula, anak saya mudah jatuh sakit akibat alergi terhadap habuk, selain kerap pitam. Jadi sebagai ibu, saya perlu menjaga dan berada di sampingnya untuk memberi     sokongan,” katanya.

Zuriani ditemui ketika menemani anaknya mengambil sumbangan dermasiswa bakti di pejabat MCA Kuantan, di sini, semalam.

Ahli Jawatankuasa MCA Bahagian Kuantan, Datuk Chang Hong Seong menyampaikan sumbangan kepada 10 penerima dermasiswa.

Sementara itu, Nur Hanim berkata, dia akan menyokong keputusan ibunya sekiranya ingin berkahwin lain.

“Saya tiada masalah dan tidak akan menghalang sekiranya hati ibu sudah terbuka.

“Selain itu, saya berterima kasih kepada pihak yang menghulurkan sumbangan. Sudah dua kali saya menerima dermasiswa ini yang akan disimpan sebagai bekalan untuk melanjutkan pelajaran,”
katanya.

Sinar Harian 25 Mei 2013

Padah langgar lampu isyarat


Keadaan kereta mangsa yang hancur remuk setelah dirempuh sebuah lori.

Keadaan lori yang merempuh kereta sehingga hampir remuk.

BAGAN SERAI - Gara-gara cuba melanggar lampu isyarat merah, seorang pemandu kereta nyaris maut apabila kenderaan dipandunya remuk dirempuh sebuah lori dalam kejadian kemalangan di Kilometer 109.5 Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth, di sini, kelmarin.

Mangsa, Khaidir Mohd Noor, 54, yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Kurau menuju ke Taiping, dirempuh sebuah lori di sebuah persimpangan berlampu isyarat secara tiba-tiba dalam kejadian sekitar jam 12.15 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kemalangan itu berpunca daripada tindakan pemandu lori yang dikatakan melanggar lampu isyarat berwarna merah seterusnya melanggar bahagian hadapan kereta mangsa.

“Pemandu lori difahamkan bertindak memecut kenderaannya sejurus lampu isyarat berwarna merah bertukar hijau, bagaimanapun lampu isyarat itu sebenarnya menunjukkan arah ke kiri menghala ke Jalan Siakap, di sini.

“Sebagai akibatnya kereta dipandu mangsa yang sedang bergerak dilanggar kuat di bahagian hadapan oleh lori itu.

“Bagaimanapun, kedua-dua pemandu berkenaan hanya sekadar mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Klinik Kesihatan Bagan Serai,” katanya sewaktu dihubungi media, di sini.

Sinar Harian turut difahamkan beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Bagan Serai terpaksa bertungkus-lumus dan mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mangsa pemandu kereta yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

Sinar Harian 25 Mei 2013

Pesara polis sakit jantung lepas kemalangan

Mangsa yang mendapat serangan jantung dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut.

SEREMBAN –  Seorang pesara polis mengalami serangan jantung sejurus kenderaan yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Siamang Gagap, dekat Sikamat, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 50-an itu memandu kereta jenis Perodua Kancil dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di sekitar bandar ini.

Menurut sumber, kereta yang dipandu mangsa telah dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dari arah belakang.

“Kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan itu namun beberapa minit kemudian mangsa secara tiba-tiba mengadu sakit dada.

“Orang ramai yang berada di lokasi kejadian menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan membawa mangsa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sumber berkata, mangsa disahkan mengalami serangan jantung dan kini dilaporkan stabil.

Sinar Harian 25 Mei 2013

Anggota tentera nyaris maut

Keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan di kilometer dua, Jalan Tampin-Seremban, kelmarin.

TAMPIN – Seorang anggota tentera nyaris maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di kilometer dua, Jalan Tampin-Seremban, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, motosikal ditunggang Mohd Hafiza Mohd Zailani, 24, yang dalam perjalanan pulang bercuti dari Kem Syed Sirajudin, Gemas ke rumahnya di Port Dickson terseret sejauh kira-kira lapan meter.

Saksi dikenali sebagai Foo, 26, berkata, dia yang sedang bekerja di kedai makan berhampiran Taman Tasik Tampin, dekat sini tergamam apabila dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat, petang kelmarin.

"Ketika leka mengemas kedai saya terdengar bunyi yang kuat sebelum meninjau ke luar kedai dan mendapati penunggang motosikal sudah terjatuh di atas jalan.

"Waktu itu, orang awam sudah ramai mengerumuni lokasi kejadian bagi melihat apa yang berlaku," katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, kelmarin.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berkenaan membabitkan antara sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dengan sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis SYM 250CC.

Menurutnya, dipercayai Toyota Hilux berkenaan ingin keluar daripada persimpangan menghala ke Tampin manakala dalam masa sama motosikal berkuasa tinggi berkenaan dalam perjalanan ke Port Dickson.

"Walau bagaimanapun, mangsa yang menunggang motosikal hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tampin.

"Sementara pemandu kereta pacuan empat roda berusia 20-an tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sinar Harian 25 Mei 2013

Tak sempat tamat pengajian

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mengimamkan solat jenazah yang turut dimakmumkan Adun Rantau Abang, Alias Harun (dua, kanan) di Hospital Dungun, petang kelmarin

DUNGUN – Seorang pelajar yang sedang menjalani latihan amali di syarikat petroleum dekat sini, tidak sempat menamatkan pengajian selepas terbunuh dalam kemalangan dekat Kerteh, pagi kelmarin.

Mangsa, Maisarah Rustam, 24, penuntut Institut Teknologi Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor, terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di T Crude Oil Terminal, dekat sini.

Dalam kejadian itu, ketika tiba di Kilometer 108.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu dipercayai
dilanggar sebuah kereta Mercedes Benz dari arah sama ketika dia mahu menukar haluan ke sebelah kiri.

Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut tetapi difahamkan meninggal dunia jam 2.30 petang.

Menurut rakan mangsa, Zuraidah Mohd, 28, pada malam sebelum kejadian, arwah dikatakan pergi ke pasar malam di pekan Paka dan membelikan nasi lemak untuknya.

"Namun saya menolak pelawaan arwah untuk menikmati makanan yang dibeli kerana sudah kenyang.

“Dia beria-ria mahu saya menjamah nasi lemak yang dibelikannya tetapi saya tetap menolak," katanya.

Menurut Zuraidah yang tinggal serumah dengan arwah sejak tiga bulan lalu, rakan baiknya itu sebelum ini tidak pernah menunggang motosikal dan dia berulang alik ke tempat kerja dengan menumpang kereta milik rakannya.

Namun seminggu sebelum kejadian, arwah dikatakan meminta ibu bapanya mengirimkan motosikal dan dia hanya sempat menggunakan motosikal tersebut beberapa hari sebelum tragedi itu.

"Sudah hampir tiga bulan dia menjalani latihan di sini dan akan tamat hujung Mei nanti.

“Kehilangannya amat dirasai kerana kami amat rapat dengannya, lebih-lebih lagi tinggal serumah dan satu tempat kerja," katanya.

Sinar Harian 25 Mei 2013

Anak harapan maut kereta bertembung Triton

Anggota bomba sedang bertungkus lumus mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit. Gambar kecil : Shilton Lim Chong

KUCHING: Seorang lelaki maut dalam kejadian awal pagi semalam selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah trak pikap di Batu 15 Jalan Kuching-Serian.

Mangsa dikenali sebagai Shilton Lim Chong, 28, dari Kampung Kuap di Batu 10 Jalan Kuching-Serian. Kemalangan maut itu berlaku pada kira-kira pukul 5.30 pagi apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu mangsa bertembung dengan Mitsubishi Triton dipandu oleh seorang lelaki yang menuju ke bandar.

Shilton maut di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala dan anggota bomba dari balai Siburan bergegas ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

Pemandu pikap tersebut hanya mengalami cedera ringan dan membuat satu laporan polis sejurus selepas kemalangan.

Seorang saudara mangsa berkata Shilton bekerja sebagai mekanik dan pemandu lori untuk menyara ibu dan empat beradiknya yang masih muda selepas kematian ayahnya beberapa tahun lalu.

Sumber The Borneo Post 25 Mei 2013

Rimas kehadiran peminta sedekah


ALOR SETAR - Bermodalkan lakonan air mata sambil menadah tangan merayu simpati, kehadiran golongan peminta sedekah di beberapa lokasi sekitar Bandaraya Alor Setar, dekat sini. menimbulkan pelbagai reaksi dan persoalan.

Pada yang bersimpati melihat golongan ini dengan pakaian tidak terurus, pastinya menghulurkan wang kerana kasihan.

Tinjauan Sinar Harian sekitar Bandaraya Alor Setar mendapati kawasan seperti bank dan medan selera kebiasaannya dikunjungi golongan peminta sedekah tanpa mengira umur mahupun jantina.

Seorang kanak-kanak lelaki enggan dikenali berkata, dia sering berkunjung ke kawasan tumpuan orang ramai terutamanya bank sekitar Alor Setar untuk meminta sedekah secara bersendirian, dan kadang-kala bersama rakan-rakannya.

Ditanya sama ada dia dipaksa meminta sedekah, kanak-kanak berusia lingkungan 10 tahun itu memberitahu 'kerja'nya dilakukan dengan rela supaya dapat memperoleh wang untuk sekolahnya.

Berbekalkan barangan seperti botol air, minyak urut mahupun surah Yasin, kanak-kanak ini berjalan dari satu kedai ke satu kedai, mahupun menunggu di hadapan pintu bank sehingga menimbulkan perasaan kurang selesa kepada orang ramai.

“Saya akan pindah ke lokasi lain, jika satu-satu tempat saya pergi tidak dapat banyak wang,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, pengunjung bank, Rosnani Ahmad, 43, berkata, bank turut menjadi tumpuan golongan lelaki dewasa membawa bekas wang sambil berkeliaran  di kawasan itu.

Katanya, perbuatan dikenal pasti dilakukan tiga individu lelaki di situ tidak wajar kerana mereka mempunyai tubuh badan cukup sifat, tanpa sebarang kecacatan tangan mahupun kaki yang membolehkan mereka bekerja.

“Ada berlakon tak ada tangan, bila kita melalui kawasan berkenaan keesokan harinya pula, kelihatan ada pula tangannya. Segelintir mereka sanggup berbuat begitu.

“Janganlah berlakon sampai macam tu, tak elok perbuatan ini kerana orang boleh tengok.

Awalnya, mungkin ramai terpedaya tapi lama-lama orang tahu juga. Jadi sesiapa ingin memberi sedekah, adalah lebih baik perhati dahulu,” katanya.

Sementara itu, Abdul Halim Zakaria, 50-an, berkata, melalui pengalamannya ketika menikmati makanan di sebuah medan selera, ada golongan pengemis tidak berganjak dari meja makan jika tidak diberi wang.

Katanya, keadaan itu menimbulkan perasaan kurang senang dan tidak selesa, namun apabila diberi wang barulah pasangan dipercayai suami isteri terbabit berganjak ke meja lain pula.

“Saya pernah pelawa mereka makan sekali sebab nampak kasihan, tapi bila ajak mereka tak mau, kata nak duit aja, lepas bagi terus pergi. Ada juga yang biadab apabila diberi wang, mereka kata 'alah seringgit aja',” katanya.

Norizah Hashim, 52, pula berkata, dia sering memberi sedekah kepada segelintir pengemis itu kerana kasihan, namun berharap golongan terbabit tidak terus menipu mengenai keadaan mereka.

Katanya, kehadiran mereka ke lokasi tumpuan ramai terutamanya kawasan pelancongan sedikit sebanyak menimbulkan ketidakselesaan orang ramai termasuk pelancong luar, sekaligus menjejaskan imej Bandaraya Alor Setar.

Menurutnya, pihak berkenaan harus mengambil tindakan sewajarnya seperti pemantauan, rondaan ataupun penguatkuasaan terhadap golongan peminta sedekah itu supaya mereka tidak berkeliaran hingga mengganggu keselesaan orang ramai.

Sinar Harian 25 Mei 2013

Pengemis miliki tiga akaun RM5,000



Johor Bahru: Seorang pengemis warga emas berusia 73 tahun memiliki tiga akaun simpanan termasuk satu Amanah Saham Bumiputera (ASB) hasil tabungan melalui aktiviti mengemis dilakukannya di sekitar bandar raya ini sejak setahun lalu.

Jumlah di dalam ASB berkenaan dianggarkan RM5,000 dan tidak pernah dikeluarkan malah bertambah setiap minggu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Manayi Ibrahim berkata, warga emas berkenaan adalah seorang wanita dan menjadikan Terminal Bas Larkin sebagai pusat operasinya.

“Selain itu, wanita terbabit turut mempunyai dua lagi akaun termasuk satu daripadanya institusi kewangan luar negara.

“Kedua-dua akaun berkenaan juga berjumlah ribuan ringgit. Ia tidak menghairankan kerana setiap hari, pengemis boleh memperoleh hasil mencecah ratusan ringgit ditambah sikap warga kita yang dermawan,” katanya.

Warga emas berkenaan diselamatkan pada operasi membanteras gelandangan serta pengemis dijalankan JKM baru-baru ini, Menurut Manayi, wanita berkenaan juga cuba melarikan diri ketika serbuan namun gagal kerana faktor usia.

Katanya, wanita terbabit kini ditempatkan di rumah perlindungan di bawah JKM sementara menunggu proses selanjutnya.

“Kami masih mengesan waris serta keluarga wanita berkenaan. Dia sepatutnya di bawah jagaan keluarga dan bukannya bergelandangan serta mengemis.

“Walaupun wangnya banyak, kami pasti hatinya tidak tenang kerana berdasarkan siasatan awal, dia umpama disisih keluarga,” katanya.

Pada masa sama, menurut Manayi, pada operasi sama, pihaknya turut menyelamatkan seorang lelaki berusia 57 tahun yang juga pemegang taraf pemastautin tetap (PR) di lokasi sama.

“Lelaki terbabit juga mengemis dan di dalam koceknya hanya ada syiling RM2. “Siasatan mendapati lelaki terbababit tiada keluarga di negeri ini dan bergelandangan kerana tidak mampu menyara diri,” katanya.

Manayi berharap orang ramai menjaga ahli keluarga mereka khasnya ibu bapa yang sudah tua dengan baik kerana ia juga satu ibadah.

“Jika ibu bapa sanggup memelihara kita sewaktu kecil hingga kita berjaya, mengapa mereka dibuang umpama sampah apabila kita mempunyai kehidupan baik.

“Balas jasa mereka dengan memelihara mereka dengan kasih sayang dan bukannya dibuang begitu saja,” katanya.

myMetro 25 Mei 2013

‘Jadi bodoh’ beli azimat



Ipoh: Bertopengkan kaedah perubatan Islam, seorang bomoh menggunakan ‘kepakarannya’ untuk memperdaya seorang peguam wanita hingga kerugian lebih RM120,000 ketika menjalani rawatan penyakit misteri dan gangguan aneh dialami mangsa.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Suzana, 33, bertemu bomoh berkenaan selepas tidak tahan dengan penyakit aneh selain dikatakan kerap diganggu makhluk halus.

Menurutnya, dia mengalami penyakit dan gangguan mistik itu selepas bercerai dengan suami menyebabkan tumpuannya pada kerjaya terjejas.

“Saya mulanya tidak percaya dengan benda ghaib ini, namun selepas kehidupan dan kerjaya saya terganggu, saya menemui bomoh berusia 50-an itu yang cukup dikenali ramai di bandar raya ini.

“Saya terdorong mendapatkan khidmat rawatannya kerana dia mendakwa mengamalkan kaedah perubatan secara Islam,” katanya yang kali pertama menemui bomoh terbabit pada Februari lalu.

Ketika menemui bomoh itu, kata Suzana, dia disuruh membeli empat azimat yang setiap satu berharga RM20,000 kerana didakwa mampu melindunginya dan keluarga daripada perbuatan khianat serta gangguan makhluk halus.

Awal bulan lalu, mangsa berkata, bomoh itu menawarkan pula sejenis batu cincin bernilai RM30,000.

“Dia mendakwa didatangi mimpi yang menyuruhnya memberikan batu itu kepada saya atas alasan tertentu,” katanya ketika ditemui.

Peguam itu berkata, dia seolah-olah jadi bodoh dan percaya semua kata-kata bomoh itu sebelum menyerahkan wang diminta tanpa banyak soal. Selain membeli azimat dan batu cincin daripada bomoh terbabit, dia membuat bayaran rawatan lebih RM10,000 kepada bomoh itu menjadikan nilai keseluruhan wang dibelanjakan lebih RM120,000. Bagaimanapun, Suzana mula menyedari diperdaya apabila ibu menegur tindakannya yang percaya kepada azimat dan batu cincin berkenaan.

“Ibu kata perbuatan itu syirik kerana menyekutukan Allah. Saya seperti baru tersedar kesilapan saya, apatah lagi penyakit saya masih tidak menunjukkan tanda sembuh,” katanya.

Berikutan itu, Suzana amat kesal dengan tindakan segelintir bomoh yang disifatkannya hanya memperdagangkan nama perubatan Islam sedangkan apa yang mereka lakukan jelas satu penipuan, selain bertentangan dengan syariat.

“Ini bukan kali pertama saya ditipu kerana sebelum ini saya pernah disogok dengan pelbagai produk sampingan ketika menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan Islam lain.

“Saya yakin bukan saya saja yang menjadi mangsa penipuan ini, malah ramai lagi pesakit turut mengalami kerugian sama,” katanya yang meminta pihak berkuasa melakukan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya.

Ditanya mengapa dia tidak membuat laporan polis berikutan penipuan dan kerugian besar dialaminya, Suzana berkata, sebagai pengamal undang-undang, dia sedar tindakan itu tidak banyak membantu disebabkan kekurangan bukti.

myMetro 25 Mei 2013



Usah ghairah percayakan tangkal

Kuala Lumpur: Orang ramai yang berdepan gangguan mistik sepatutnya tidak ghairah bertemu bomoh dan percayakan azimat atau tangkal, sebaliknya perlu berusaha mendekatkan diri dengan Allah menerusi bacaan ayat suci al-Quran.

Exco Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (GAPPIMA) Sharhan Shafie berkata, antara kesalahan besar yang kerap dilakukan bomoh adalah membekalkan azimat dan batu permata kepada pesakit, kononnya mujarab untuk mengubati gangguan mistik.

“Apabila menggunakan azimat atau tangkal, jelas ia bukan kaedah perubatan Islam, tapi hanya muslihat untuk meraih kepercayaan dan mengaut keuntungan mudah daripada orang ramai,” katanya.

Beliau mengulas nasib menimpa peguam wanita dikenali sebagai Suzana yang kerugian lebih RM120,000 kerana ditipu bomoh.

Sharhan berkata, ada beberapa perkara yang boleh dinilai pesakit sebelum mempercayai pengamal perubatan tradisional bagi mengelak ditipu termasuk mengkaji keseluruhan karakter seorang bomoh.

“Pengamal perubatan Islam menggunakan ayat suci al-Quran dalam kaedah rawatan mereka. Dia tidak mengagungkan dewa, asap kemenyan dan menjauhi penggunaan sebarang kain berwarna.

“Kaedah rawatan Islam juga tidak mengusulkan sebarang pengeras, tidak menggunakan azimat mahupun batu permata serta tidak meminta benda berdarah seperti ayam hitam mahupun kambing putih.

“Jika berlaku sebaliknya, bomoh berkenaan adalah penipu dan berkemungkinan berniat untuk memperdaya wang mangsa,” katanya.

Meneliti masalah yang dilalui Suzana, Sharhan berkata, wanita itu berkemungkinan besar berdepan sihir tafriq iaitu gangguan suami isteri yang dicetuskan iblis Dasim.

“Gangguan ini selalunya bermula dengan tanda seperti timbul kebencian antara pasangan, wujud cemburu keterlaluan, perselisihan kecil diperbesarkan, tidak boleh bersama, mengalami debaran tanpa sebab, sakit di bawah rahim ketika waktu Maghrib, sakit kepala keterlaluan, bermimpi jatuh dari tempat tinggi dan bermimpi ular.

“Semua ini boleh berlaku sehingga pasangan bercerai dan menderita. Begitupun, gangguan ini tidak perlu dirawat dengan azimat, tapi boleh diubati menerusi pembacaan al-Quran,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan supaya mangsa tampil mendapatkan khidmat bantuan peguam GAPPIMA untuk menyelesaikan masalah dihadapi.

myMetro 25 Mei 2013

‘Pembaca meter’ samun wanita



Subang Jaya: Terpedaya dengan dua lelaki yang menyamar sebagai pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB), seorang wanita serta anaknya kerugian hampir RM30,000 selepas dirompak di rumah mereka di USJ 2, di sini, kelmarin.

Dua penjenayah berusia lewat 20-an itu memakai pakaian seragam TNB bagi memperdaya mangsa dan mereka yang dipercayai bergerak aktif sejak lebih enam bulan lalu sudah menyamun lebih 10 mangsa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, dalam kejadian terbaru jam 1.30 tengah hari kelmarin, dua lelaki terbabit menggunakan modus operandi sama ketika menyamun seorang suri rumah berusia 54 tahun dan anak lelakinya.

Menurutnya, dua suspek terbabit datang ke rumah mangsa menaiki motosikal Suzuki sebelum mendakwa mahu memeriksa meter elektrik di rumah itu. “Seorang suspek meminta kebenaran mangsa untuk masuk dalam rumahnya konon untuk memeriksa penghawa dingin manakala rakannya segera menutup pintu rumah sebelum mengeluarkan parang. “Suspek mengikat kaki dan tangan dua beranak itu sebelum mengambil barang kemas milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM30,000,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Yahaya berkata, hasil siasatan berdasarkan nombor pendaftaran motosikal digunakan suspek, pihaknya kini mengenal pasti identiti seorang daripada mereka dan usaha menjejaki mereka masih dilakukan.

myMtero 25 Mei 2013

Mati telentang dibunuh rakan



Rembau: Seorang pekerja kontrak ditemui mati dalam keadaan telentang di ruang tamu rumahnya dipercayai dibunuh dua rakannya sendiri dalam kejadian di sebuah kuarters Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), berhampiran Balai Polis Rembau, pagi semalam.

Mangsa, M Selvarajah, 42, ditemui adiknya, Elvis Michael, 36, dengan kepala dan badan mangsa berlumuran darah ketika pulang ke rumah selepas selesai bertugas sebagai pengawal keselamatan di Klinik Kesihatan Rembau pada jam 7.10 pagi semalam.

Menceritakan semula penemuan mayat abangnya itu, Elvis berkata, sebaik sampai rumah dia mengetuk pintu rumah beberapa kali dan dibuka dua suspek lelaki yang baru tersedar daripada tidur. Menurutnya, sebaik melangkah masuk ke dalam rumah, dia mendapati mangsa telentang di ruang tamu dan kepalanya serta badannya dipenuhi darah.

“Saya cuba mengejutkan abang, tetapi dia tidak bernyawa lagi. Saya tanya kepada kedua-dua lelaki itu apa yang berlaku, tetapi mereka kata tak tahu dan seolah-olah terkejut. Saya tengok kepala abang luka teruk begitu juga dengan bahagian dadanya seperti disiat-siat.

“Beberapa botol minuman keras juga ditemui pecah berderai di ruang tamu. Kemudian, saya terus menghubungi polis untuk memaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, kedua-dua suspek adalah rakan sekerja abangnya dan mereka menumpang di rumah kuarters itu sejak setahun lalu.

“Petang kelmarin, abang bersiap dengan berpakaian kemas untuk pergi sembahyang di kuil. Kedua-dua suspek juga turut sama. Sampai hati mereka membunuh abang saya sedangkan kami menganggap mereka sebagai keluarga,” katanya.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, pihak polis menahan dua suspek masing-masing berumur 25 dan 26 tahun itu termasuk seorang daripada suspek berkenaan adalah warga India.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa dan kedua-dua suspek mabuk lalu berlaku pertengkaran sehingga mengakibatkan mangsa mati dibunuh. Punca pergaduhan masih dalam siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

myMetro 25 Mei 2013

Lelaki dihentak tunang cemburu terima 10 jahitan



Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 35 tahun menerima 10 jahitan di kepala selepas dihentak dengan kayu oleh tunangnya dalam kejadian di sebuah hotel di Kepong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, wanita terbabit bertindak demikian selepas mengesyaki mangsa curang terhadapnya.

Sebelum kejadian, wanita itu menghubungi mangsa dan meminta bertemu dengannya di bilik hotel di kawasan berkenaan kerana mendakwa ada perkara mustahak perlu dibincangkan.

Menurut sumber, sebaik mangsa tiba di bilik hotel berkenaan, suspek terus menyerangnya.

“Suspek yang bersenjatakan kayu dilaporkan memukul kepala mangsa lebih 10 kali. Ketika itu, mangsa hanya mampu menutup kepalanya menggunakan kedua-dua tangan.

“Mangsa yang kesakitan merayu dikasihani, namun rayuan itu tidak diendahkan. Lelaki terbabit bagaimanapun bernasib baik apabila pekerja hotel itu mendengar jeritannya sebelum tampil memberikan pertolongan,” katanya.

Katanya, suspek kemudian mendakwa mangsa curang terhadapnya dan menjalin hubungan sulit dengan wanita lain biarpun tempoh perkahwinan mereka makin dekat.

“Mangsa yang cedera dibawa ke klinik berhampiran dan menerima 10 jahitan di kepala sebelum membuat laporan di Balai Polis Kepong, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

myMetro 25 Mei 2013

Dilarikan perompak berseluar dalam


PONTIAN - Sebuah keluarga dari Benut di sini, berdepan detik cemas apabila kediaman mereka dimasuki seorang lelaki yang hanya berseluar dalam bersenjatakan pisau dalam kejadian jam 4 pagi, Selasa lalu.

Ketika kejadian, suami isteri terlibat bersama tiga anak mereka sedang tidur sebelum dikejutkan jeritan anak perempuan kedua yang berada dalam bilik berasingan.

Samsudin Masran, 47, berkata, dia segera ke bilik anaknya sebelum mendapati cahaya mata sulungnya, Amalia Khairulnisa, 10, sudah tiada di tempat tidurnya.

“Anak kedua saya, Nur Farahin, menjerit memberitahu kakaknya sudah tiada dan memberitahu ada orang datang ke bilik mereka.

“Puas saya mencari Amalia di dalam rumah, tetapi tidak jumpa,” katanya kepada  Sinar Harian di sini, semalam.

Bagaimanapun, Samsudin berkata, usaha isterinya, Rubiah Jerai, 40, yang mencari di kawasan belakang rumah terlihat kelibat anak perempuan mereka bersama seorang lelaki menuju ke arah balai  Masjid Tampok.

Menurutnya, Rubiah terus menjerit meminta tolong daripada jiran di sebelah rumah yang kemudiannya bergegas ke belakang rumah.

“Saya dapati anak saya ditinggalkan seorang diri di kawasan belakang rumah dan menangis, namun tidak  cedera,” katanya.

Samsudin seorang pemandu lori mengakui, kehilangan wang sebanyak RM3,000 yang diletakkan di dalam dua beg selain sebuah telefon bimbit.

Jelasnya, wang tersebut adalah hasil jualan barang yang dibawa di dalam lori yang sepatutnya diserahkan kepada majikannya.

“Saya syak perompak tersebut masuk melalui tingkap kerana tiada kesan umpil pada pintu. Saya kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Benut,” katanya.

Sementara itu, Amalia yang masih trauma berkata, lelaki terbabit mengugut agar memberinya wang sambil mengacukan pisau di lehernya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superitendan Jokhiri Abdul Aziz mengesahkan kejadian.

Sinar Harian 25 Mei 2013

Ibu tunggal rayu anak gadis pulang

Nur Amira Abd Manan

Ipoh: Seorang ibu tunggal hidup dalam keadaan tidak tenteram apabila anak gadisnya berusia 19 tahun tidak pulang ke rumah sejak dua bulan lalu.

Rahmah Mad Shah, 58, berkata anaknya, Nur Amira Abd Manan, 19, dipercayai lari meninggalkan rumah di Pekan Razaki, di sini, pada jam 5.30 petang, 26 Mac lalu.

Ketika ditemui di rumahnya semalam, katanya, beliau terlalu merindui anak bongsunya itu selain bimbang keselamatan diri gadis itu yang menghilangkan diri tanpa diketahui punca.

Katanya, kehilangan Nur Amira hanya disedari apabila anaknya itu tidak pulang ke rumah selepas mendakwa bertemu rakannya.

“Dia keluar dari rumah sehelai sepinggang. Mulanya saya sangkakan dia hanya pulang lewat ke rumah, namun saya berasa tidak sedap hati apabila gagal menghubunginya.

“Nur Amira anak bongsu daripada empat beradik dan mempunyai ramai kawan. Mungkin ada antara kawannya itu memujuknya supaya melarikan diri dari rumah,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat.

“Saya merayu kepada individu yang melihat anak saya itu menghubungi saya di talian 010-2356546,” katanya.

Berita Harian 25 Mei 2013

Amarah ribut

BUMBUNG Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi turut rosak dilanda ribut.

BUMBUNG surau rosak dilanda ribut.

Kuala Lumpur: “Saya nampak lima khemah yang dipasang depan surau terbang dan menghempap bumbungnya,” kata Baharuddin Mat Ayed, 58, saksi kejadian ribut sekitar Pekan Sungai Besi, di sini petang semalam.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Surau Jumaat (sementara) Ibnu Khaldun berkata, melihat khemah diterbangkan ribut itu, dia dan 10 jemaah lain di dalam surau segera menutup pintu dan tingkap surau.

“Hujan lebat bermula jam 4 petang dan selesai solat Asar, jemaah beransur pulang, hanya tinggal saya dan kira-kira 10 jemaah lain.

“Kira-kira jam 4.45 petang itu, ribut melanda dan menerbangkan lima khemah di depan surau ke atas bumbung surau,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata, akibat kejadian itu bumbung surau dan kuarters imam yang terletak bersebelahan mengalami kerosakan teruk.

Sementara itu, Pengerusi surau berkenaan, Hamzah Abdul Wahab, 64, berkata surau berstatus sementara itu dibina sejak Februari lalu berikutan masjid baru masih dalam proses pembinaan dan dijangka siap dua tahun lagi. Menurutnya, sebaik saja dimaklumkan kejadian dia yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas solat Asar berpatah balik ke surau.

“Sebaik tiba, saya lihat lima khemah sudah berada atas bumbung surau selain air hujan turut membasahi belakang surau akibat bumbung berkenaan ranap dihempap khemah,” katanya.

Beliau berkata, kerugian akibat kerosakan itu dianggarkan lebih RM40,000 dan beberapa ahli jawatankuasa bekerjasama menurunkan semua khemah yang sudah musnah keseluruhannya.

Sementara itu, ribut yang melanda turut menyebabkan empat rumah papan dan satu bengkel yang terletak kira-kira satu kilometer daripada Surau Jumaat Ibnu Khaldun, musnah akibat dihempap pokok besar. Pemilik satu daripada rumah terbabit, Mohd Razwan Ismail, 36, menyifatkan ribut kuat itu seperti `puting beliung’ sebelum rumahnya musnah dalam sekelip mata.

“Mujur kawan saya yang ketika itu tidur dalam sebuah bilik tidak cedera akibat dihempap pokok. Dia berjaya keluar daripada celahan pokok dan almari biliknya,” katanya.

myMetro 25 Mei 2013



Dua kereta, empat motor kena hempap

Kuala Lumpur: Penduduk, peniaga dan pengunjung Pekan Sungai Besi, di sini, gempar apabila ribut melanda kawasan itu, menyebabkan banyak pokok tumbang selain beberapa premis musnah, kira-kira jam 4 petang semalam.

Dalam kejadian itu, hujan lebat disusuli angin kuat yang berlaku kira-kira satu jam menyebabkan lima premis, dua kereta dan empat motosikal musnah dihempap pokok.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.45 petang memaklumkan ada pokok tumbang di Pekan Sungai Besi.

“Tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi, Tun Razak dan Hang Tuah dikejarkan ke tempat kejadian bagi memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang.

“Dua kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Saga serta empat motosikal yang diletakkan di parkir rosak teruk dihempap pokok,” katanya.

Khirudin berkata, lima premis yang terletak berdekatan antara satu sama lain turut musnah dihempap pokok besar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Malah, menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi turut mengalami kerosakan akibat ribut berkenaan dan pihaknya menerima laporan mengenai tiga pokok tumbang di Kem Perdana Sungai Besi.

Selain itu, kejadian pokok tumbang turut dilaporkan berlaku di Kampung Muhibah, di sini, menyebabkan sebuah rumah rosak di bahagian dapur rumah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

myMetro 25 Mei 2013

Wanita terselamat dari maut

Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan berkenaan turut mengalami kerosakan.

Keadaan MPV yang terbalik dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi petang kelmarin.

BAGAN SERAI - Seorang wanita nyaris maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya hilang kawalan dan terbalik dalam kemalangan di Kilometer 194 Lebuhraya Utara Selatan menghala arah selatan, di sini, kelmarin.

Saksi kejadian yang hanya ingin dikenali sebagai Mohd Salihin, 47 berkata MPV berkenaan berpusing sebanyak dua kali setelah bergesel dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi sebelum terbalik dalam kejadian berkenaan.

Menurut Mohd Salihin, kejadian berlaku sekitar jam 6.20 petang dan dia bernasib baik kerana sempat menekan brek setelah melihat MPV yang berada di hadapannya terbabas.

"Selepas melihat MPV itu terbalik di laluan kecemasan, saya terkejut apabila melihat seorang perempuan dalam lingkungan usia 40-an merangkak keluar dari kenderaan itu.

"Belum sempat saya tolong, tiba-tiba pintu MPV di bahagian tempat duduk pemandu terbuka dan wanita terbabit merangkak keluar perlahan-lahan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya pemandu kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam kejadian berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan ia agak mengejutkan berikutan kerosakan teruk pada kenderaan dinaiki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurut beliau, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada kereta jenis Perodua Myvi hilang kawalan sebelum bergesel dengan MPV terbabit.

"Bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.

Sinar Harian 25 Mei 2013

Kanak-kanak 3 tahun menderita tubuh dipenuhi ketulan daging


Hashim dan Suraya menunjukkan daging yang tumbuh di bahagian badan anaknya diperhatikan saudaranya.

Adik Muhammad Iqram dibantu ibunya memakai baju berikutan pergerakan tangan yang agak terhad.

FELDA KUMAI - Usianya baru mencecah tiga tahun, namun terpaksa menanggung penderitaan walaupun tidak memahami apa yang sedang ditanggung.

Hampir seluruh anggota badan adik Muhammad Iqram Hashim ditumbuhi daging baru selepas peristiwa badannya melecur akibat terkena percikan api, kira-kira dua tahun lalu.

Kejadian berlaku semasa ibunya, Suraya Hassan, 32, sedang membakar sampah dan secara tiba-tiba, ada sesuatu meletup dan terpelanting masuk menerusi tingkap bilik lalu terkena Muhammad Iqram yang sedang tidur.

Bapanya, Hashim Hassan, 34, berkata, daging baru yang tumbuh di bahagian melecur anaknya semakin membesar dari hari ke hari.

Menurutnya, pada awalnya, hanya ada ketulan daging kecil tumbuh di telinga kiri, tetapi lama kelamaan ia tumbuh di seluruh badan anaknya.

“Dia (Muhammad Iqram) tidak pernah mengadu sakit, tetapi selalu rasa gatal kerana daging yang tumbuh itu bertindih-tindih dan berkumpul.

“Sekarang, kalau rasa gatal, dia akan ambil putik kapas dan membersihkan sendiri di bahagian gatal,” katanya.

Difahamkan, adik Muhammad Iqram tidak boleh berada di kawasan panas kerana akan membuatkan dia cepat berasa gatal.

Hashim berkata, selepas anaknya dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), dia diminta untuk mendapatkan rawatan susulan setiap minggu.

Bagaimanapun dengan pendapatan harian, dia tidak mampu berbuat demikian dan kali terakhir membawa Muhammad Iqram pada Januari tahun lalu.

“Bukan tidak mahu bawa untuk rawatan, tetapi saya tidak mampu. Sekali pergi sahaja, saya terpaksa bayar upah pemandu kereta, petrol dan makan, sedangkan pihak hospital periksa sekejap sahaja.

“Dulu saya menoreh, sekarang saya ikut orang bertukang. Kalau tak kerja, tak dapatlah gaji. Jadi saya beritahu doktor, hanya kalau saya ada duit, saya akan ke HKL,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia ada memohon kes anaknya dipindahkan ke Hospital Temerloh, tetapi permohonannya tidak diterima.

Katanya, sekiranya kes itu dipindahkan, dia masih mampu membawa anaknya untuk rawatan susulan seperti diarahkan.

Sementara itu, isterinya, Suraya berkata, mereka dimaklumkan oleh HKL, anaknya juga perlu menjalani pembedahan plastik untuk memulihkan fizikalnya.

Katanya, walaupun tidak diberitahu tarikh pembedahan, tetapi dia percaya ia akan menelan kos yang besar.

“Masa mula-mula dulu, doktor akan ambil bahagian kulit yang elok untuk ditampal di bahagian melecur.

“Tapi bila ada daging tumbuh di bahagian sudah ditampal, anak saya perlu jalani pembedahan,” katanya.

Suraya berkata, dia akan berusaha supaya anaknya boleh menjalani pembedahan plastik itu kerana bimbang, apabila memasuki alam persekolahan, dia akan berasa rendah diri.

“Memang anak saya tidak kisah dengan apa yang berlaku pada badannya. Tetapi sebagai ibu, ada juga rasa sedih. Saya harap, anak saya boleh kembali normal seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Sinar Harian 25 Mei 2013

Terbabas di selekoh maut

Keadaan dua MPV yang terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di selekoh maut Serating di Marang, semalam.

MARANG – Seorang bayi berusia 2 bulan terselamat dalam nahas jalan raya apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki bersama ibu bapanya melanggar sebuah lagi MPV yang dipercayai terbabas di selekoh ‘maut’ Serating, di sini, semalam.

Selekoh dekat Kilometer 37 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan itu dikenali sebagai selekoh maut, kerana kerap berlaku kemalangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, ibu mangsa, Shamsinar Mohd Jaya, 36, berkata, MPV jenis Naza Citra itu terbabas ketika membelok sebelum dilanggar dua kenderaan termasuk MPV dipandu suaminya, Mohd Shukri Muda, 35.

“Kami dalam perjalanan dari Dungun menuju ke Kuala Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan, manakala Naza Citra itu di laluan bertentangan secara tiba-tiba masuk ke laluan kami.

“Saya bersyukur suami dan bayi berusia dua bulan serta tiga lagi anak kami berusia 7, 5 dan 3 tahun selamat dalam insiden ini, manakala seorang penumpang bersama kami juga tidak cedera,” katanya ditemui di tempat kejadian, semalam.

Akibat insiden itu, MPV jenis Toyota Estima dipandu suaminya mengalami kerosakan teruk termasuk MPV jenis Naza Citra itu, manakala kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger pula terpaksa ditunda.

Sementara itu, Mazlan Awang yang berada di dalam Ford Ranger itu berkata, dia bersama ahli keluarganya sedang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu sebelum sisi kanan pacuan empat roda dinaikinya itu dilanggar lalu hilang kawalan.

“Kenderaan kami terbabas dan berpusing sebelum terhenti di tepi kanan jalan,” katanya yang dalam perjalanan untuk menghantar barang persiapan majlis perkahwinan ahli keluarganya di Kuala Terengganu.

Difahamkan, hanya pemandu dan penumpang yang menaiki MPV jenis Naza Citra yang dalam perjalanan menuju ke arah Dungun itu mengalami kecederaan dan dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Sinar Harian 25 Mei 2013

Suami isteri gaduh, kepala anak tertikam gunting

KANAK-KANAK yang cedera di kepala selepas tertikam dengan gunting sempat bermain telefon bimbit ketika mendapat rawatan di Hospital Miri semalam. Gambar NST

‘Saya pula jadi mangsa’


Miri: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun bertarung nyawa lebih lima jam apabila sebilah gunting tertusuk di kepalanya sedalam tiga sentimeter, akibat perbalahan antara ibu dan bapanya, awal pagi semalam.

Kejadian jam 3 pagi itu berlaku selepas cubaan ibu kanak-kanak itu menyerang bapanya menggunakan gunting tersasar, sebaliknya mengenai kepala mangsa yang ketika itu sedang tidur.

Sebelum itu, pasangan berusia 30-an itu bertengkar di rumah mereka di Jalan Tanjung Miri, di sini kerana si isteri berkenaan menuduh suaminya menjalin hubungan sulit dengan wanita lain.

Sumber berkata, ketika kejadian pasangan terbabit juga dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol menyebabkan masing-masing enggan beralah dan kemuncaknya wanita terbabit cuba menikam suaminya menggunakan sebilah gunting.

Menurutnya, pertengkaran yang pada mulanya berlaku di ruang tamu itu berlarutan sehingga ke bilik tidur sebelum wanita terbabit menyerang suaminya dengan gunting.

myMetro 25 Mei 2013



Posmen nak hantar surat jumpa mayat dalam rumah

Mayat mangsa yang ditemui mati oleh seorang posmen dihantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat, semalam. Gambar kecil: Kuet Kiang

GEMENCHEH – Gerak hati seorang posmen untuk meninjau ke dalam rumah seorang penduduk di Kampung Baru Air Kuning Selatan, dekat sini, membawa kepada penemuan mayat, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 1.45 petang itu, mayat Yap Kuet Kiang, 58, yang dipercayai sudah mati beberapa hari ditemui dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumah berkenaan.

Menurut sumber, posmen tersebut dipercayai ingin menghantar surat berdaftar di rumah berkenaan, namun berasa curiga apabila bunyi hon berulang kali tidak diendahkan pemilik rumah.

“Lebih menambahkan perasaan curiga posmen itu apabila surat yang dihantar beberapa hari sebelum ini masih lagi terdapat di dalam peti surat, seolah-olah tidak diendahkan oleh pemilik rumah berkenaan.

“Kebiasaannya, setiap kali posmen berkenaan membunyikan hon bagi menghantar surat berdaftar, mangsa pasti bergegas keluar dari rumah. Posmen berkenaan yang mulai berasa tidak sedap hati meninjau ke dalam rumah mangsa,” kata sumber berkenaan kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kebetulan pintu rumah mangsa terbuka dan posmen berkenaan terkejut apabila ternampak tubuh mangsa tertiarap di ruang tamu serta sudah berbau.

Posmen berkenaan bergegas melaporkan penemuan berkenaan kepada pihak polis di Balai Polis Air Kuning Selatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa di hantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat," katanya.

Sinar Harian 25 Mei 2013

Ponteng berubat akibat miskin

Ahmad Taqiuddin (dua kiri) mengunjungi Mohamed Nor yang terlantar di rumah warga emas itu di Dabong, dekat Kuala Krai.

KUALA KRAI - Kesempitan hidup menyebabkan seorang warga emas, Mohamed Nor Ibrahim dari Dabong, di sini, sering ponteng rawatan susulan untuk penyakit kencing manis dan darah tinggi dihidapinya.

Walaupun hanya dua minggu sekali, Mohamed Nor, 60, tidak mampu menampung kos rawatan itu kerana dia sendiri tidak bekerja atas sebab kesihatan dan kini bergantung kepada ihsan anak untuk sara hidup.

Mohamed Nor yang tinggal bersama isteri, Wan Zuraida Wan Yusof, tiga anak dan seorang cucu, sebelum ini bekerja sebagai pemotong kayu di hutan dengan pendapatan sekitar RM50 sehari.

Namun, ada masanya dia perlu mendapatkan rawatan itu dan akibatnya, dia sekeluarga terpaksa mengikat perut kerana wang yang ada hanya cukup untuk belanja harian.

“Kalau pergi klinik di Jeli, saya kena belanja RM100 untuk kos ubat dan pengangkutan sedangkan wang yang anak beri hanya cukup untuk belanja makan minum.

“Anak sulung saya, Wan Hakimi, 20, seorang sahaja bekerja untuk tampung sara hidup kami sekeluarga dan itu pun hanya kerja kampung dengan pendapatan RM30 sehari,” katanya.

Mohamed Nor berkata, anak perempuannya, Wan Zuraini, 19, pula merupakan ibu tunggal dan seorang lagi, Shasha Nabila, 10, masih bersekolah serta cucu, Nor Farisya Mohamad Farid, 3.

“Pendapatan Wan Hakimi hanya cukup untuk makan minum kami sekeluarga dan kalau saya guna untuk belanja pergi klinik, kami terpaksa ikat perut dan berlapar,” katanya.

Justeru, Mohamed Nor berkata, dia amat bersyukur dan berterima kasih apabila kesempitan hidup dilalui keluarganya mendapat perhatian Pejabat Kebajikan Masyarakat Jajahan Kuala Krai.

Bagi meringankan beban keluarga itu, Pejabat Kebajikan Masyarakat jajahan meluluskan bantuan bulanan untuk Mohamed Nor sebanyak RM300 sebulan, berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Berita gembira itu disampaikan Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat jajahan ini, Ahmad Taqiuddin Yusuf pada kunjungan ke rumah Mohamed Nor bagi menyampaikan bantuan segera berjumlah RM200.

Sinar Harian 25 Mei 2013

Keluarga ‘tin sardin’

KELUARGA Aspalela terpaksa berhimpit di dalam satu rumah kecil di PPMS Batu 6 1/2, Bukit Merah.


Bagan Serai: Kehidupan seramai 26 orang dalam satu keluarga boleh diibaratkan seperti hidup dalam tin sardin apabila terpaksa berhimpit dalam sebuah rumah di Pusat Pemindahan Masyarakat Setempat (PPMS), Batu 6 1/2, Bukit Merah, di sini.

Difahamkan, pemilik rumah, Aspalela Zan, 42, dan suaminya, Azmi Saari, 32, tinggal bersama 11 anak mereka dengan tiga menantu serta tiga cucu dan seorang adik ipar serta enam anak saudara dalam rumah berkenaan yang hanya mempunyai dua bilik.

Aspalela berkata, mereka hidup bersesak dalam rumah itu sejak lebih enam tahun lalu berikutan tidak mampu menyewa rumah lain.

“Saya mempunyai 26 ahli keluarga dan semuanya tinggal di bawah satu bumbung. Kami terpaksa hidup begini kerana masing-masing mempunyai masalah kewangan dan tidak mampu memiliki rumah sendiri.

“Suami dan tiga menantu saya hanya melakukan kerja kampung dan pendapatan ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

myMetro 25 Mei 2013

Derita angkara lori amang

Andasura (kanan) melihat keadaan Putri Noormia Khaisara yang mengalami jangkitan di paruparu akibat persekitaran tidak bersih di Kampung Selamat.

KUANTAN - “Bulan ini sahaja, sudah empat kali anak saya ditahan di wad dan jika dia ditahan lagi, doktor sudah tidak tahu hendak buat apa  selagi kami masih tinggal di kawasan berhabuk ini,” kata Rosdi Mustafa, 34, bapa kepada Putri Noormia Khaisara, 1 tahun 4 bulan yang disahkan mengalami masalah jangkitan paru-paru.

Rosdi berkata, lori mengangkut bijih besi atau digelar 'lori amang' sering berulang-alik di depan rumahnya menyebabkan kesihatan mereka sekeluarga terganggu dan paling teruk menerima kesannya, anak bongsu mereka yang kerap demam dan batuk sejak berusia enam bulan.

Menurutnya, dia memang mahu berpindah, namun tidak mampu kerana sewa tinggi, tambahan pula gajinya sebagai buruh tidak seberapa.

“Bapa mana yang tidak sayangkan anak. Jika boleh berubah badan, saya sanggup menggalas segala kesakitan anak. Setiap hari dia asyik batuk dan tercungap-cungap untuk bernafas.

“Saya bimbang terhadap tumbesarannya, jika dari kecil sudah berpenyakit, memang sukar untuk anak saya membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya yang tinggal di Kampung Selamat, di sini.

Isterinya, Norasyikin Manap, 27, berkata, bukan anak bongsu sahaja yang sakit, malah dua lagi anak mereka seolah-olah silih berganti sakit gara-gara keadaan persekitaran berhabuk dan berdebu.

“Apabila musim kemarau, angin akan bawa debu amang ke rumah kami dan apabila musim tengkujuh pula, lecak di merata-rata tempat membuatkan apa sahaja di sekeliling kami akan bertukar menjadi karat termasuk pakaian.

“Sampai bila kami akan hidup seperti ini? Orang lain dapat untung, kami  dapat sakit.

Pihak lain yang kaya-raya, kami terus tersepit di laluan lori amang ini,” katanya.

Norasyikin berkata, dia terpaksa menjirus air di atas jalan bagi mengurangkan risiko habuk masuk ke dalam rumah.

“Gaji suami tidak seberapa, tetapi setiap bulan kami terpaksa membelanjakan duit lebih daripada kemampuan sendiri untuk berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Nasib keluarga berkenaan mendapat perhatian Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Mohd Fauzi Abdul Rahman yang simpati dengan keadaan menimpa mereka.

“Sudah lebih dua tahun masalah ini melanda penduduk, namun pihak berkuasa tempatan (PBT) seolah-olah pekakkan telinga dan butakan mata.

“Saya rayu pihak atasan cuba selesaikan masalah ini secepat mungkin kerana pelbagai musibah lain akan melanda penduduk Kampung Selamat ini,” katanya.

Adun Beserah, Andasura Rabu pula berharap pihak berkaitan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah itu.

Menurutnya, lori amang yang berulang-alik 24 jam di kampung berkenaan sepatutnya mempunyai laluan khusus supaya habuk dan debu tidak melekat pada jalan serta rumah penduduk.

“Jangan semata-mata untuk mengejar keuntungan, nasib rakyat dipertaruhkan sedangkan pelbagai kaedah boleh dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah ini. Simpanan amang juga boleh ditempatkan di satu kawasan lain yang jauh dari petempatan penduduk.

"Saya akan bawa masalah ini ke Dewan Rakyat dan jika masih tidak selesai juga, kemungkinan akan ada demonstrasi besar-besaran bagi rakyat menuntut hak mereka," katanya.

Sinar Harian 25 Mei 2013