March 12, 2018

Gurauan ayah jadi kenyataan

AHLI keluarga tidak dapat menahan sedih ketika menunggu proses bedah siasat mayat dua beranak yang maut kemalangan melibatkan sebuah kereta dan sebuah bas di Jalan Serting Hulu Jempol. - Foto Abnor Hamizam

JEMPOL: "Saya tak sangka, gurauan ayah pagi ini yang emak akan jadi ibu tunggal, petanda dia akan pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya.

"Gurauan itu bukan saja menjadi kenyataan, malah kami kini hilang tempat bermanja," katanya Anjeli, 19, anak kepada Latif Salleh, 40, yang maut bersama anak lelakinya, Zunaidie, apabila kereta dinaiki mereka bertembung bas pagi ini.

Nahas jam 7.10 pagi itu, turut menyebabkan seorang lagi anak lelaki Latif, Zuzaidie, 15, cedera dan dalam rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN)

Anjeli berkata, mereka mengetahui nahas menimpa ayah dan dua adiknya itu apabila dihubungi Polis Trafik yang meminta ke hospital segera tetapi tidak memberitahu keadaan ayah dan dua adiknya.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim, berkata kemalangan itu berlaku di Kilometer 21, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang.

Beliau berkata, kereta Ford Telstar dipandu mangsa dari arah Kuala Pilah bertembung dengan sebuah bas henti-henti dari arah Simpang Pertang, yang sebelum itu cuba mengelak sebuah kenderaan lain di laluan bas berkenaan.

"Ketika cuba memasuki laluannya semula, pemandu bas gagal mengawal kenderaan, sebaliknya memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung kereta dipandu mangsa.

"Latif dan Zunaidie mati di lokasi nahas, manakala seorang lagi anaknya, Zuzaidie, 15 dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah ( HTAN ) bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, punca sebenar nahas masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, isteri mangsa, Rozi Kedah, 39, berkata saya sering berpesan kepada suami supaya memandu kereta dengan berhati-hati kerana turut membawa anak bersama, namun kali ini terlupa mengingatkannya.

"Dua anak lelaki saya memang suka mengikut ayahnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Batu Kikir ketika cuti sekolah," katanya ketika ditemui di Hospital Jempol.

Rozi berkata, anak bongsunya yang baru berusia 6 tahun juga beriya-iya mahu mengikut ayah dan dua abangnya tetapi dibenarkan turut serta.

Katanya, dia terkejut dengan kemalangan itu dan pernah memberi cadangan kepada suaminya itu supaya berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan, sebaliknya melakukan kerja sekitar Kampung Parit Gong.

"Saya memberi cadangan itu kerana sejak kebelakangan ini, sering melihat suami mudah letih, mungkin kerana penat selepas beberapa tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan ladang berkenaan yang terletak kira-kira 30 kilometer dari rumah.

"Suami seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga dan sangat menyayangi kami semua," katanya yang tidak dapat kepiluan mengenang nahas mengorbankan suami dan anaknya itu. - Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Berita Harian 10 Mac 2018


Dua beranak maut bas hempap kereta

SERTING TENGAH - Dua orang termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala seorang parah membabitkan nahas bas henti-henti dengan sebuah kereta di KM 21 Jalan Kuala Pilah-Simpang Pagi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamudin Hashim berkata, insiden sekitar jam 7.20 pagi itu, dipercayai berlaku apabila bas dari arah Simpang Pertang menghala ke Kuala Pilah tersebut mengelak kenderaan yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.

“Bas berkenaan termasuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan yang dinaiki anak beranak itu.

“Akibatnya bas tersebut menghempap kenderaan itu mengakibatkan mangsa tersepit di lokasi. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat," katanya.

Individu yang maut dikenali sebagai Latif Salleh, 40, dan anaknya, Zunaidie, 11, manakala kakaknya, Zuzaidie, 15, cedera parah di muka. Pemandu bas berusia 33 tahun tidak mengalami kecederaan.

Kes seterusnya disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya.

Sementara itu, isteri kepada mangsa maut, Rozi Kedai, 39, berkata dia kerap berpesan kepada suaminya agar berhati-hati ketika memandu.

Namun semalam, dia lupa berpesan sedemikian dan kejadian ini sangat mengejutkan kerana suami banyak membantu keluarga.

"Sepatutnya anak bongsu berusia enam tahun mahu ikut juga namun berubah fikiran. Suami memang seorang yang penynyang dan baik sehingga sanggup mengikut kehendak anak-anak untuk ikutnya ke tempat kerja," katanya.

Katanya, dia pernah menasihati suaminyanya agar berhenti kerja susulan lokasi kerja agak jauh dari rumahnya di Kampung Parit Gong, Simpang Pertang, Jelebu.

"Kerja kampung pun okey sebab tempat kerja sekarang jauh. Manakala anak-anak pula suka ikut suami pergi kerja bila cuti sekolah," katanya. - NORAFIDAH ASSAN

10 Mac 2018

0 comments:

Post a Comment