March 10, 2018

Anggota TLDM ditemui lemas ketika pasang jaring ikan

Anggota bomba membawa mayat mangsa yang ditemui lemas malam tadi.

BATU GAJAH - Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditemui lemas selepas bot yang dinaikinya pecah sewaktu sedang memasang jaring ikan di sebuah lombong di Batu 10, Tanjung Tualang di sini malam tadi.

Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Mohd. Jamaluddin Mat Yusop, siasatan awal mendapati, mangsa yang berusia 36 tahun dipercayai menaiki bot bersama rakannya untuk memasang jaring di lokasi kejadian pada pukul 9 malam.

Jelasnya, bagaimanapun, bot tersebut tiba-tiba pecah sebelum tenggelam.

“Sewaktu kejadiam, mangsa berjaya berenang ke bahagian tebing lombong namun, lelaki itu dipercayai tersangkut pada jaring sebelum lemas.

“Anggota bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.39 malam tadi terus  bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi pencarian,” katanya ketik dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Jelasnya, mayat lelaki itu ditemui pada pukul 3.20 pagi selepas bomba berjaya mengesan kedudukan mangsa yang tersangkut pada jaring ikan.

Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa tamat pada pukul 5 pagi tadi. - K! ONLINE MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

10 Mac 2018 8:13 AM

0 comments:

Post a Comment