March 12, 2018

3 maut, 1 parah kemalangan



Tiga maut dan seorang cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 24.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik. - Foto ihsan Pembaca

IPOH: Tiga maut dan seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 24, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, petang tadi.

Dalam nahas jam 4 petang itu, mangsa yang maut ialah pemandu PERODUA Bezza, Ahmad Shadrul Amin Mohd Sauki, 22, berasal dari Besut, Terengganu.

Penunggang motosikal yang maut ialah Mohd Rosli Hussin dari Machang, Kelantan manakala seorang lagi belum dikenal pasti identitinya.

Ahmad Shadrul Amin dan penunggang yang belum dikenal pasti identiti itu meninggal dunia di lokasi, manakala Mohd Rosli Hussin ketika mendapat rawatan di Hospital Gerik (HG) pada jam 7.25 malam.

Kemalangan turut menyebabkan penumpang hadapan kereta itu, Muhamad Aziman Mahamood, juga dari Machang, parah dan kini dirawat di Hospital Taiping (HT).

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Jeli ke Gerik, manakala kedua-dua motosikal berkonvoi dari arah bertentangan.

Katanya, kereta dan motosikal yang ditunggang oleh lelaki yang belum dikenali itu dipercayai bergesel ketika tiba di laluan mendaki dan sedikit berselekoh.

"Motosikal ditunggang Mohd Rosli yang berada di belakang motosikal itu cuba mengelak ke kiri sebelum terbabas dan melanggar tembok.

"Pelanggaran itu menyebabkan kereta berpusing dan melanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan menghala Gerik.

"Motosikal ditunggang mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu terbabas ke kiri dan penunggangnya tercampak ke dalam longkang di kiri jalan menghala Jeli," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Mayat ketiga-tiga mangsa dibedah siasat di Hospital Gerik dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, berkata anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik yang tiba di lokasi membantu membersihkan kawasan dan menyerahkan mayat kepada polis untuk tindakan lanjut. - Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Balqis Jazimah Zahari

Berita Harian 9 Mac 2018

0 comments:

Post a Comment