March 10, 2018

Pelajar tingkatan tiga hamil dakwa dirogol kenalan lelaki

KEMAMAN - Seorang pelajar tingkatan tiga disahkan hamil tiga minggu mendakwa dia dirogol oleh seorang kenalan lelakinya.

Difahamkan, mangsa berusia 15 tahun yang masih bersekolah itu mengadu tidak sihat kepada ibunya sebelum dibawa ke Hospital Kemaman di sini untuk pemeriksaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam kelmarin sebelum disahkan mengandung.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, mangsa pada mulanya mengadu tidak sihat termasuk mengalami muntah serta tidak berselera untuk makan.

“Ibu remaja terbabit yang bimbang dengan keadaan anaknya itu kemudiannya membawa mangsa membuat pemeriksaan di hospital sebelum doktor mengesahkan pelajar itu sudah hamil tiga minggu.

“Terkejut dengan kejadian yang berlaku, ibu mangsa telah hadir membuat laporan di Balai Polis Chukai pada hari yang sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Susulan laporan yang diterima, Mohd. Said berkata, gerakan memburu suspek giat dijalankan sebelum membawa kepada penahanan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.

Katanya, siasatan lanjut kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. - K! ONLINE  MUKHATAR A. RAHMAN

08 Mac 2018

0 comments:

Post a Comment