January 17, 2012

'Bantulah bapa saya berjalan'


MARANG – “Tolonglah bantu bapa saya, dia ingin untuk berjalan normal semula,” demikian permintaan seorang anak, Mohd Amirul Md Rahim, 19, yang merayu simpati orang ramai demi menamatkan penderitaan ditanggung bapanya sejak lima tahun lalu.

Bapa Mohd Amirul, Md Rahim Jatim, 57, dari Kampung Jerung Seberang, Pengkalan Berangan di sini, sebelum ini menderita penyakit kulit misteri, dan kini terpaksa pula berkerusi roda selepas kaki kirinya cedera ditimpa sebatang pokok lima tahun lalu.

“Kami tidak mampu menemui pakar perubatan di hospital kerajaan mahupun swasta kerana tidak mampu menampung perbelanjaannya. Bapa kini tidak mampu menanggung kesakitan dan berharap ada pihak dan pakar perubatan sudi mengubati kaki kirinya,” katanya.

Sementara itu, Md Rahim ketika ditemui, hanya dapat duduk kerana tidak mampu untuk berbuat apa-apa akibat kecederaan pada kaki kirinya, tambah pula bonjolan kecil dan besar yang tumbuh di seluruh badannya turut membataskan pergerakannya.

Menurutnya, penyakit kulit misteri itu dihidapinya sejak berumur 25 tahun, iaitu sebelum dia berumah tangga dan sejak itu sudah berpuluh doktor serta bomoh ditemui, namun sehingga kini penyakit kulit misterinya itu masih belum menemui sebarang penawar.

“Saya sudah habis berikhtiar tetapi penyakit misteri ini tidak mahu juga sembuh. Namun, saya reda dengan keadaan diri saya, mungkin ia tidak dapat dipulihkan. Tetapi saya berharap ada pihak sudi membantu untuk mengubati kaki saya yang cedera ditimpa pokok.

“Saya tidak mampu bekerja selepas kejadian pokok tumbang menimpa kaki ketika membersihkan kawasan hutan kira-kira lima tahun lalu. Lebih menyedihkan, sejak belakangan ini saya sering bermimpi kaki ini pulih dan saya dapat berjalan semula,” katanya.

Sebelum ini Md Rahim hanyalah seorang pekerja kampung dan mempunyai tiga anak berusia enam hingga 19 tahun. Namun selepas mengalami kecederaan akibat ditimpa pokok getah itu urusan harian keluarga diuruskan isteri dan anak sulungnya.

Md Rahim berkata, dia pasti semua terkejut dan simpati apabila melihat wajah dan keadaan badannya yang dipenuhi dengan bonjolan kecil dan besar, namun bukan itu yang cuba diketengahkan tetapi dia memerlukan bantuan rawatan bagi mengubati kaki kirinya.

“Saya tidak mampu berubat kerana hidup keluarga kami hanya bergantung sepenuhnya dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM750 sebulan, dan jumlah itu hanya cukup untuk keperluan harian dan belanja sekolah anak sahaja,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penyakit misteri Md Rahim, anaknya Mohd Amirul pula berkata, bapanya menghidap penyakit kulit misteri itu sebelum dia dilahirkan lagi dan pelbagai ubat telah dicuba bapanya, namun penyakit itu tetap tidak pulih.

Bagaimanapun, bagi anak sulung pasangan Md Rahim dan Maimunah Mat Ali ini, penyakit kulit misteri yang dihidapi bapanya itu tidak pernah membuatkan dirinya berasa rendah diri, malah dia juga tidak pernah diejek oleh rakan-rakan lain di kampung itu.

“Penyakit misteri yang dideritai bapa bukan satu masalah besar bagi kami tetapi hasrat ayah untuk berjalan semula adalah lebih diutamakan. Kami kesiankan dia yang terpaksa dibantu untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain pada setiap masa.

“Saya sekeluarga amat berharap ada pihak dapat membantu mengubati semula kaki bapa yang cedera dan mungkin dia lebih bersyukur jika ada pihak dapat mengubati penyakit kulitnya sekali,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Mohd Amirul menerusi talian 0111-9302549.

Sinar Harian
17 Jan 2012


Harap mimpi jadi nyata


MARANG – “Malam tadi saya bermimpi lagi dapat berjalan semula. Setiap kali perkara itu berlaku saya akan bangun perlahan-lahan dan duduk untuk mengingati semula mimpi yang diharap dapat jadi kenyataan itu,” kata Md Rahim Jatim, 57.

Md Rahim ketika ditemui semalam, berkata, dia me­ngalami lagi mimpi dapat berjalan semula selepas kunju­ngan Sinar Harian di rumah keluarga itu kelmarin. Malah hasrat dan kisah hidupnya itu turut dikongsi bersama pembaca akhbar ini.

Kisah Md Rahim yang tinggal di Kampung Jerung Seberang, Pengkalan Berangan itu juga disiarkan Sinar Harian kelmarin. Bapa tiga anak itu menderita menghidap penyakit kulit misteri dan kini terpaksa berkerusi roda selepas kaki kirinya ditimpa sebatang pokok lima tahun lalu.

Menurutnya, sepanjang lima tahun itu dia hanya mampu duduk kerana tidak mampu untuk berbuat apa-apa akibat kecederaan pada kaki kirinya tambah pula benjolan kecil dan besar yang tumbuh di seluruh badannya turut membataskan pergerakannya.

Menurutnya yang dipetik Sinar Harian kelmarin, penyakit kulit misteri itu dihidapi sejak berumur 25 tahun iaitu sebelum dia berumah tangga dan sejak itu sudah berpuluh doktor dan bomoh ditemui, namun sehingga kini ia gagal disembuhkan.

“Saya habis berikhtiar tetapi penyakit misteri ini tidak mahu juga sembuh. Namun, saya redha dengan keadaan diri saya, mungkin ia tidak dapat untuk dipulihkan. Tetapi saya berharap ada pihak yang sudi membantu untuk me­ngubati kaki saya yang cedera ditimpa pokok.

“Saya tidak mampu bekerja selepas kejadian pokok tumbang menimpa kaki ketika bekerja membersihkan kawasan hutan kira-kira lima tahun lalu.

Lebih menyedihkan apabila sejak belakangan ini saya sering bermimpi kaki ini pulih dan saya dapat berjalan semula,” katanya.

Sebelum ini Md Rahim hanyalah seorang pekerja kampung dan mempunyai tiga anak berusia enam hingga 19 tahun. Namun selepas mengalami kecederaan akibat ditimpa pokok getah uru­san harian keluarga itu dipikul isteri dan anak sulungnya.

Md Rahim berkata, dia pasti semua terkejut dan simpati apabila melihat wajah dan keadaan badannya yang dipenuhi dengan benjolan kecil dan besar, justeru dia berharap ada yang sudi membantu untuk mengubati kaki kirinya.

Sementara itu, anaknya, Mohd Amirul, 19, ketika dihubungi Sinar Harian semalam, pula berkata, bapanya selalu bermimpi mengenai perkara itu dan bagi keluarganya ia sudah menjadi perkara biasa tetapi mimpi itu dikatakan lebih kerap sejak belaka­ngan ini.

“Saya sekeluarga amat berterima kasih kepada yang ingin membantu dan saya memohon maaf kerana telah memberikan maklumat salah mengenai nombor telefon sebelum ini,” katanya ketika dimaklumkan semalam, bahawa ada pihak yang akan melawat keluarga itu hari ini.

Semalam Skuad Cakna Sinar Harian dihubungi pihak yang sudi membantu Md Rahim bertalu-talu apabila nombor telefon yang disiarkan dalam akhbar kelmarin terdapat kesilapan.

Bagi mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Mohd Amirul menerusi talian 0111-9302549 dan bukannya seperti yang disiarkan Sinar Harian kelmarin.

Sinar Harian
18 Jan 2012


Faktor keturunan, bukan misteri

KUALA TERENGGANU: Penyakit misteri dihidapi Md Rahim Jatim, 57, bukanlah perkara pelik, tetapi sebenarnya berpunca daripada faktor genetik atau keturunan.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohammad Omar berkata, penyakit dikenali sebagai ‘Neurofibromatosis’ yang membabitkan jangkitan saraf di dalam badan tidak misteri seperti diperkatakan.

“Penyakit yang dihidap Md Rahim bukan kes pertama dirawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), bagaimanapun, tiada rawatan untuk mengubati penyakit ini.

Harian Metro semalam melaporkan, penderitaan yang dialami Md Rahim mengundang simpati orang ramai yang melihat tubuhnya dipenuhi benjol kecil dan besar sejak 32 tahun lalu.

myMetro
14 Feb 2012


Md Rahim bimbang anak turut warisi penyakit kulit misteri sepertinya

MARANG – Md Rahim Jatim, 57, dari Jerung Seberang di sini, yang mengalami penyakit kulit misteri, bimbang penyakit dialaminya turut diwarisi anak sulungnya, Mohd Amirul, 20, selepas terdapatnya benjolan kecil di bahagian bawah leher anaknya sejak awal tahun ini.

Menurutnya, selepas kisahnya disiarkan Sinar Harian pada 17 Januari lalu, dia terhutang budi dengan banyak pihak yang mengambil berat mengenai penyakit keturunan dialaminya, walaupun menyedari ia tidak mampu pulih selepas menghidapnya ketika berumur 25 tahun.

“Namun, saya bimbang jika anak sulung saya mewarisi penyakit ini kerana sudah ada benjolan kecil di bahagian lehernya seperti mana dialami saya sebelum ini,” katanya yang turut mengalami masalah kecederaan kaki kiri akibat dihempap kayu getah lima tahun lalu.

Md Rahim berkata demikian selepas menerima kunjungan pakar perubatan kulit dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Dr Chong Yew Thong yang berjanji akan melakukan pemeriksaan rapi terhadap bapa tiga anak itu.

Hadir sama dalam kunjungan itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Muhammad Omar, Naib Ketua Umno Bahagian, Datuk Razali Idris dan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, Toh Puan Rosnani Ngah.

Pemeriksaan rapi terhadap Md Rahim termasuklah melakukan imbasan menggunakan mesin pengimbas tercanggih bagi mengesan punca sebenar penyakit kulit misteri atau nama saintifiknya ‘neurofibromatosis’ yang dideritai bapa tiga anak itu.

Difahamkan, penyakit yang dideritai Md Rahim adalah akibat keganjilan genetik dan penyakit itu boleh diwarisi melalui keturunan pesakit, namun ia sangat jarang berlaku dengan nisbah 1: 4000 penduduk di seluruh dunia.

Sementara itu, Naib Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Razali Idris turut menyarankan kerajaan melalui agensi tertentu, membuat kajian terperinci mengenai penyakit itu termasuk langkah pencegahan agar ia tidak diwarisi.

Menurutnya, penyakit kulit misteri dihidapi Md Rahim hanya dikesan selepas dia berumur 25 tahun, iaitu sebelum dia berumah tangga, dan kini ia mula dialami anaknya.

“Kajian itu bukan hanya tertumpu untuk membantu keluarga Md Rahim dan anaknya, tetapi kepada mereka yang menghadapi masalah penyakit sama di seluruh negara, mungkin kita mampu menemui penawar atau mencegahnya daripada terus diwarisi ahli keluarga pesakit,” katanya.

Sinar Harian 16 Mei 2012


Nasi, budu juadah berbuka

Maimunah mengheret suaminya, Md Rahim menggunakan tikar ke ruang tamu selepas dimandikan.

MARANG – Seminggu lalu, keluarga Maimunah Mat Ali, 45, hanya mampu berbuka puasa dengan nasi dan budu yang dikongsi empat beranak tetapi semalam, mereka sekeluarga bersyukur kerana dapat merasa nasi berlaukkan sayur.

Walaupun jauh di sudut hati, Maimunah tidak sanggup melihat suaminya yang sakit, Md Rahim Jatim, 55, dan dua anaknya berlaukkan makanan itu sahaja, namun dia tidak mampu menyediakan lebih daripada itu kerana kemiskinan yang menghimpit.

“Anak bongsu, Roszairah, 7, jarang makan makanan berzat kerana kami tidak mampu. Jika ada duit sikit, kami lebih mengutamakan keperluan ubat-ubatan untuk bapanya yang sedang sakit," katanya.

Suaminya bukan sahaja menghidap penyakit misteri, malah turut mengalami kecederaan di kaki kirinya akibat ditimpa pokok getah beberapa tahun lalu, menyebabkan tanggungjawab sebagai ketua keluarga kini dipikul sepenuhnya oleh Maimunah.

Sungguhpun demikian, Maimunah berkata, anaknya tidak pernah bersungut walaupun hanya makan nasi putih dengan budu sahaja dan keadaan itu sering berlaku apabila bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lambat diterima mereka.

Maimunah tidak bekerja kerana perlu menguruskan keluarganya, sementara anak sulungnya, Mohd Amirul, 21, kini bekerja di sebuah padang golf di Kuala Lumpur dan anak keduanya pula, Mohd Azuan, 16, bekerja sambilan di sekitar daerah ini.

Menurutnya, ketika sihat dahulu, suaminya melakukan pelbagai jenis kerja termasuk menjual buah-buahan dan biasanya mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM50 sehari untuk menyara keluarga.

“Namun keadaan berubah sejak abang (suami) sakit dan dia sudah bertahun menderita akibat kaki kirinya ditimpa pokok getah.

"Justeru, kami sekeluarga bergantung sepenuhnya dengan bantuan JKM sebanyak RM400 sebulan dan ia habis digunakan untuk membeli ubat tahan sakit. Jika ada baki, barulah kami beli keperluan dapur dan menyedihkan kerana mahu minum teh atau kopi pun kami tidak mampu membelinya,” katanya.

Ditanya persiapan hari raya tahun ini pula, Maimunah berkata, seperti juga tahun sebelumnya, mereka sekeluarga hanya beraya ala kadar dan jika ada kuih-muih dan baju raya, semuanya itu hasil pemberian pihak yang bersimpati dengan nasib mereka.

Sementara itu, suaminya, Md Rahim turut menangis teresak-esak kerana tidak menyangka wakil Sinar Harian akan datang semula ke rumahnya semalam, kerana katanya, selepas kisahnya disiarkan akhbar ini tahun lepas, ramai pihak datang dan membantunya.

“Kami sekeluarga bersyukur kerana kisah hidup saya mendapat perhatian banyak pihak. Terima kasih kepada semua yang membantu sebelum ini. Hanya ALLAH SWT sahaja dapat membalas budi baik mereka.

“Saya kasihankan isteri kerana perlu menanggung keluarga dengan dibantu anak lelaki. Saya mahu bekerja semula tetapi tidak berdaya, malah isteri perlu menyuap saya makan kerana keadaan kesihatan semakin merosot,” katanya.

Md Rahim turut menyuarakan hasrat memohon sebuah kerusi roda yang baru kerana kemudahan sedia ada telah rosak.

Keluarga ini boleh dihubungi melalui talian 014-8346489 (Maimunah) jika mahu menghulurkan sumbangan.

“Kami sekeluarga juga amat berterima kasih kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jerung Seberang kerana sering datang bertanyakan khabar dan membantu kami semampu yang mereka boleh,"  katanya yang tinggal di Jalan Masjid, Kampung Jerung Seberang di Pengkalan Berangan.

Sinar Harian 21 Jul 2013


Kisah duka dapat perhatian

Kerusi roda baru yang diterima Md Rahim menjadi hadiah paling bermakna dalam menyambut Aidilfitri tahun ini.

MARANG – Kerusi roda baru yang diterima menjadi hadiah paling bermakna dalam menyambut Aidilfitri buat Md Rahim Jatim, 55, selepas lima bulan mengalami kesukaran bergerak kerana cedera pada bahagian kaki sejak dua tahun lalu.

Md Rahim juga bersyukur kerana menerima sebuah kerusi roda sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan turut menerima barang keperluan dapur sumbangan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu.

Menurut isterinya, Maimunah Mat Ali, 45, sumbangan kerusi roda itu memudahkan pergerakan suaminya kerana sebelum ini suaminya terpaksa bergantung sepenuhnya dengan bantuan dia dan anak-anak.

“Saya bersyukur kerana kerusi roda ini memudahkan suami saya bergerak. Sebelum ini, dia terpaksa bergantung sepenuhnya dengan bantuan kami untuk bergerak dan jika ingin keluar rumah,” katanya.

Maimunah berkata demikian selepas menerima sumbangan berkenaan disampaikan Pegawai Pemantau Marang, Mohd Nor Hafizd Mohd Nasir, 29, di rumahnya di Jalan Masjid, Jerung Seberang di sini. Hadir sama wakil JKM Daerah Marang.

Sementara itu, Md Rahim turut menangis teresak-esak kerana tidak menyangka banyak pihak memberikan perhatian selepas kisahnya hanya mampu berbuka dengan nasi dan budu disiarkan Sinar Harian, 21 Julai lalu.

Md Rahim turut menyuarakan niatnya untuk memohon sebuah kerusi roda memandangkan kemudahan sedia ada sudah rosak sejak lima bulan lalu dan hasrat untuk memiliki sebuah kerusi roda akhirnya termakbul hasil sumbangan JKM Marang.

“Kami sekeluarga bersyukur kerana kisah hidup saya mendapat perhatian banyak pihak. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu sebelum ini dan semua sumbangan sebelum itu hanya dapat dibalas oleh yang maha Esa sahaja.

“Saya kasihankan isteri kerana perlu menanggung keluarga dengan dibantu anak lelaki. Saya mahu bekerja semula tetapi apakan daya hendak makan pun perlu disuapkan kerana keadaan kesihatan saya semakin buruk,” katanya.

Sinar Harian 2 Ogos 2013

2 comments:

  1. sedih nyer..allah turunkan ujian kt die mcm tu..sy rasa die ni terkenan la..mcm org kt indonesia tu..pun ada kes mcm die ni gak

    ReplyDelete
  2. NF1 atau type 2 kat Malaysia ni masih lagi saya nampak dalam peringkat 'kajian' sebab tak ramai juga penghidap yg tampil untuk bertemu doktor....tapi kalau kat luar negeri doktor akan sarankan rawatan laser pada kebiasaannya....

    ReplyDelete