March 12, 2018

Penunggang motosikal maut di lebuh raya

Keadaan di lokasi kemalangan meragut nyawa seorang remaja.

REMBAU - Seorang remaja maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 222.1, Lebuh raya Utara-Selatan (arah Selatan), di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.05 malam itu, mangsa berusia awal 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik susulan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal di lorong tengah dipercayai telah melanggar bahagian bucu belakang sebelah kanan sebuah lori yang masih belum diketahui di lorong sama iaitu di lorong tengah.

"Susulan pelanggaran berkenaan, mangsa tidak dapat mengawal pergerakan motosikal lalu mangsa terjatuh di lorong tengah. Manakala motosikalnya pula terjatuh di lorong kanan kira-kira 25 meter dari lokasi mangsa.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi.

Anuar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Susulan insiden berkenaan, trafik bergerak perlahan sejauh enam kilometer dari lokasi kejadian. - NOR AINNA HAMZAH

Sinar Harian 12 Mac 2018

0 comments:

Post a Comment