May 9, 2016

Zaidi pergi, Nazira ikut

Keadaan lori yang dipandu Nazira dan suaminya, Zaidi remuk teruk selepas merempuh treler di KM111 Lebuhraya Utara-Selatan.

Omar Osman
am@hmetro.com.my

Sungai Petani: “Ke mana saja Zaidi pergi, isterinya (Nazira) pasti ada bersama, malah mereka saling bertukar giliran untuk memandu lori kerana tidak pernah berpisah.”

Begitu kata Mansur Putih, 61, bapa kepada pemandu lori, Zaidi, 37, yang maut akibat tersepit di tempat duduk selepas lori yang dipandu isterinya, Nazira Said, 29, merempuh belakang treler dalam kemalangan di Kilometer 111, Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, berhampiran Kampung Pokok Asam, di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 7.15 pagi itu turut menyebabkan kerosakan terhadap tiga kereta lain iaitu masing-masing Perodua Viva, Hyundai Getz dan Suzuki Swift yang mengekori lori berkenaan.

Difahamkan, kemalangan berlaku ketika lori dinaiki pasangan terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Kubang Jawi, Alor Janggus, Alor Setar, selepas menghantar buah-buahan di Johor Bahru, Johor.

Namun, sebaik tiba di lokasi, lori Isuzu yang dipandu isteri mangsa merempuh belakang treler yang bergerak perlahan di laluan kecemasan kerana tayar pecah.

Akibat kejadian itu, Zaidi cedera parah di seluruh tubuh dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya yang parah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk rawatan.

Mansur berkata, kali terakhir dia bertemu Zaidi pada malam Jumaat lalu, namun anaknya tidak banyak bercakap dan tidak memberitahu destinasi dituju kecuali memaklumkan ada penghantaran saja pada malam itu.

“Arwah Zaidi tidak pernah meninggalkan Nazira, malah isterinya itu turut bekerja dengan syarikat sama. Zaidi dan isterinya akan bergilir-gilir membawa lori sekiranya mereka rasa letih di mana selalunya arwah dan isteri akan menghantar buah-buahan ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru.

“Namun pagi ini (semalam), saya terkejut apabila diberitahu lori dinaiki Zaidi dan isterinya terbabit dalam kemalangan di Sungai Petani,” katanya yang enggan mengulas lanjut ketika ditemui di Jabatan Forensik HSAH, di sini, disebabkan masih terkejut dan sedih dengan kejadian itu.

Seorang ahli keluarga Nazira yang mahu dikenali sebagai Said, 60-an, berkata, pada malam dua hari lalu, dia bertemu Zaidi dan Nazira di Plaza Tol Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang dan arwah ada memberinya dua ekor ayam dan tiga buah mempelam sebelum meneruskan perjalanan.

“Ketika itu arwah sempat memberitahu ayam itu untuk dibuat kenduri, namun tidak memberitahu ke mana mereka berdua mahu menghantar barang. Itulah kali terakhir saya berjumpa dengan mereka dan pagi tadi dikejutkan apabila mendapat panggilan memberitahu mereka berdua terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zuker Md Isa berkata, kemalangan berlaku selepas lori yang dinaiki pasangan suami isteri terbabit merempuh belakang treler yang bergerak perlahan di laluan kecemasan kerana tayar pecah.

Katanya, ketika kejadian lori dan treler berkenaan datang dari Butterworth, Pulau Pinang ke Alor Setar.

“Akibat rempuhan itu, tiga kereta yang mengekori turut melanggar lori berkenaan. Bahagian hadapan lori berkenaan remuk teruk menyebabkan suami isteri berkenaan tersepit di tempat duduk dan mengalami cedera parah.

“Mangsa lelaki yang cedera teruk meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya yang parah dikejarkan ke HSAH dengan ambulans untuk rawatan manakala pemandu tiga kenderaan lain mengalami kecederaan ringan dan pemandu treler tidak cedera,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 9 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment