May 9, 2016

'Aku janji untuk genggam diploma'

HASHIMAH menemani Nik Fadzli mengulang kaji menjadi pembakar semangat anak bongsunya belajar.

Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my

Manjung: Kasih ibu membawa ke syurga, malah rela berkorban demi anak. Itu yang dilakukan seorang ibu yang sanggup menunggu dalam kereta 10 jam sehingga anak bongsunya yang juga pelajar orang kurang upaya (OKU) tamat kelas demi menyaksikan impian anaknya menggenggam segulung diploma tercapai.

Hashimah Hassan, 51, sanggup berulang-alik sejauh hampir 50 kilometer (km) dari Seri Manjung ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Seri Iskandar setiap dua kali sebulan bersama suaminya, Mohd Jubir Saad, 53, untuk menghantar dan menunggu anaknya, Muhamad Nik Fadzli, 21, yang mempunyai penyakit ‘multiple epiphyseal dysplasia’.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu menderita masalah sendi di kedua-dua kaki dan tangan serta tulang belakang hingga menyukarkannya berjalan dan berdiri.

Pengorbanan Hashimah turut menjadi pembakar semangat anak-anaknya mencapai kejayaan dan paling membanggakan kegigihan yang ditunjukkan Nik Fadzli, setanding dengan insan normal lain apabila memperoleh 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2012, sekali gus menerima anugerah pelajar cemerlang serta anugerah khas pelajar istimewa.

Menurut suri rumah itu, anak bongsunya itu dilahirkan normal seperti bayi lain sebelum menunjukkan perubahan selepas berusia dua minggu.

“Biarpun keadaan dirinya tidak sempurna, adik (Nik Fadzli) tidak pernah menggunakan kekurangannya itu sebagai penghalang dan sentiasa menunjukkan minat belajar.

“Melihat kesungguhan anak, saya sendiri akan berjumpa gurunya di sekolah untuk mengetahui tahap pelajarannya terutama menjelang peperiksaan bagi membaiki kelemahannya kerana dia sukar berjumpa guru. Apabila selesai bertemu dengan gurunya, saya akan terangkan apa yang diberitahu gurunya untuk dia membuat latihan ulang kaji,” katanya.

Hashimah berkata, sebagai ibu bapa, dia dan suaminya yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sentiasa menyokong usaha anaknya yang menunjukkan kegigihan meneruskan pengajian dan tidak pernah jemu berulang- alik ke Seri Iskandar.

“Nik Fadzli belajar secara pengajian jarak jauh (PJJ) kerana ini memudahkan pergerakan dan urusannya. Dia memerlukan bantuan orang lain untuk menguruskan diri termasuk menggunakan lampin pakai buang dan sebagai ibu, saya lebih senang dia di depan mata, apatah lagi dengan keadaannya begitu,” katanya.

Menurutnya, masanya banyak dihabiskan menguruskan Nik Fadzli dan mengutamakan anaknya itu dalam semua perkara termasuk perkakas di rumah seperti meja makan, paip air dan telefon semua diubah untuk memudahkan anaknya itu menguruskan diri.

“Saya tak mahu bekerja biarpun ada rakan yang menawarkan pekerjaan kerana masa saya dihabiskan sepenuhnya menguruskan Nik Fadzli biarpun dia boleh berdikari kerana tidak semua perkara boleh dilakukan sendiri.

“Kami mengambil keputusan menetap terus di sini (Manjung) apabila anak diterima belajar di Seri Iskandar kerana memikirkan jarak lebih dekat berbanding kampung di Taiping dan saya juga belajar memandu untuk menghantarnya ke hospital dan urusan lain apabila suami bekerja,” katanya.

Sementara itu, bagi Nik Fadzli, pengorbanan ibunya itu membakar semangatnya meneruskan pengajian dalam jurusan Diploma Pentadbiran Awam yang kini sudah semester kelima dan dijangka tamat dua tahun lagi.

“Anak mana yang tidak terharu dengan pengorbanan keluarga yang sanggup membawa saya ke mana saja dan janji saya pada mereka akan belajar bersungguh-sungguh serta membawa pulang diploma sebagai membalas jasa mereka,” katanya.

myMetro 9 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment