May 9, 2016

Polis temui mayat lelaki dalam but kereta BMW di Tasik Puchong

SEPANG 8 Mei - Polis menemui mayat seorang lelaki yang dipercayai dibunuh lima hari lalu di dalam but kereta BMW yang tenggelam di sebuah bekas lombong di Tasik Puchong, Taman Maju Jaya dekat sini hari ini.

Menurut jurucakap polis, pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai berhubung penemuan sebuah kenderaan di dalam tasik bekas lombong itu pada pukul 2.07 petang ini.

Bagaimanapun, katanya identiti mayat masih belum disahkan kerana polis belum menjumpai apa-apa dokumen pengenalan diri pada mangsa.

"Balai Bomba Cyberjaya telah dimaklumkan untuk menarik kenderaan itu dan selepas kereta itu ditarik ke darat pada 4.40 petang, pemeriksaan mendapati satu mayat di dalam but kereta BMW itu.

"Dipercayai lelaki itu dibunuh dan mayatnya kemudian dimasukkan ke dalam but kereta sebelum ditenggelamkan di tasik terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Siasatan awal mendapati kereta itu sebelum dimiliki oleh seorang lelaki lain, sebelum dijual kepada syarikat menjual kenderaan terpakai, katanya, sambil mengesahkan tiada laporan berhubung kehilangan kenderaan itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Komisoner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang menyiasat berhubung penemuan mayat tersebut. - BERNAMA

BERNAMA 8 Mei 2016


Tarik kereta dari tasik, jumpa mayat

ANGGOTA BOMBA menarik keluar kereta (gambar kecil) dari tasik. FOTO ihsan Bomba

Fardy Bungga
am@hmetro.com.my

Puchong: Satu mayat belum dikenal pasti ditemui di dalam kereta mewah yang ditarik keluar dari Tasik Puchong, Taman Maju Jaya, petang tadi.

Kereta itu difahamkan terjunam di dalam tasik berkenaan sejak lima hari lalu sebelum ditemui oleh pihak berkuasa.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima makluman daripada polis yang meminta bantuan mengeluarkan kereta dari tasik terbabit.

Katanya, sebaik ditarik keluar, pihaknya mendapati terdapat satu mayat yang mula mereput di dalam kenderaan berkenaan.

"Kereta terbabit dikeluarkan dari tasik berkenaan pada 4.40 petang dan identiti mangsa gagal dikenal pasti.

"Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,"katanya ketika dihubungi, hari ini.

myMetro 8 Mei 2016


Dua lelaki Bangladesh ditahan bantu siasatan

Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

Shah Alam: Dua lelaki warga Bangladesh berusia 23 hingga 27 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat lelaki dalam but kereta BMW yang tenggelam di bekas lombong di Tasik Puchong, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, kedua-dua suspek ditahan di sekitar lokasi sama pada hari kejadian.

"Siasatan awal mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan masing-masing bekerja sebagai penjaga kebun serta penjaga sangkar ikan di kawasan berkenaan.

"Dua suspek itu direman sehingga 22 Mei ini bagi membantu siasatan yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, sebentar tadi.

Dalam perkembangan berasingan, menurut Mohd Adnan, polis turut menahan lima lelaki berusia 27 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang ditemui rentung dalam bonet kereta di Jalan Genting Peras, Hulu Langat, 5 Mei lalu.

"Semua suspek ditahan di empat lokasi berasingan di Kuala Lumpur dan Selangor pada Ahad dan semalam," katanya.

myMetro 10 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment