May 9, 2016

Empat didakwa seludup manusia

Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my

Kangar: Empat lelaki warganegara asing dari Myanmar, Bangladesh dan Thailand didakwa di Mahkamah Majistret Kangar pagi tadikerana terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran di Wang Kelian antara tahun 2014 hingga tahun lalu.

Keempat-empat tertuduh, Shahidullah@Syahidullah, 18 seorang etnik Rohingya dari Myanmar, Nurul Islam, 32 dari Bangladesh, Biau Wong Chumpo, 32 dari Thailand dan seorang etnik Rohingya dari Myanmar, Momotin@Dus Mohamad, 19, dibawa dituduh di hadapan Majistret Mohd Izmi Ibrahim selepas dibawa ke Kompleks Mahkamah Perlis, di sini, pada 10 pagi tadi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Shahidullah yang juga tertuduh pertama didakwa menyeludup seorang migran warganegera Myanmar bernama Mohd Belai di Bukit Wang Burma, Wang Kelian pada 5.30 pagi antara bulan Ogos 2014 dan 10 Mac 2015.

Manakala, tertuduh kedua, Nurul Islam pula didakwa dengan tiga pertuduhan penyeludupan migran dengan menyeludup seorang Bangladesh bernama Mohamad Nurbasya pada 4 petang antara November 2014 dan Mei tahun lalu.

Bagi tuduhan kedua pula, Nurul Islam didakwa menyeludup seorang migran warganegara Bangladesh dikenali sebagai Delwar antara Oktober 2014 dan April tahun lalu di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma.

Bagi tuduhan ketiga, Nurul Islam didakwa menyeludup seorang lagi lelaki warganegara Bangladesh bernama Joy pada 4 petang antara November 2014 dan Mei tahun lalu di Bukit Genting Perah di Wang Kelian.

Sementara tertuduh ketiga, BIau Wong Chumpo yang berasal dari Thailand didakwa menyeludup seorang migran warga Bangladesh bernama Md Tifajir Husin pada 1.30 pagi antara Oktober 2014 dan 2 Mei tahun lalu di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma di Wang Kelian.

Tertuduh terakhir pula, Momotin@Dus Mohamad, seorang etnik Rohingya dari Myanmar menyeludup seorang migran warga Myanmar bernama Mohd Belai pada 5.30 pagi antara Ogos 2014 dan 10 Mac tahun lalu di Bukit Wang Burma, Wang Kelian.

Kesemua tertuduh didakwa dibawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara 15 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dihadapan mereka oleh jurubahasa mahkamah.

Tiada pengakuan direkodkan dan Izmi menetapkan tarikh 9 Jun hadapan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kangar.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas dan dilakukan bersama oleh Afzainizam Abdul Aziz dan Nadia Zulkefli.

myMetro 9 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment