May 8, 2016

Lelaki maut rempuh treler

KEADAAN lori remuk teruk selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO Omar Osman

Omar Osman
am@hmetro.com.my

Sungai Petani:Seorang pemandu lori berusia 37 tahun maut manakala isterinya, 29, parah selepas lori dinaiki merempuh belakang sebuah treler dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan, pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.15 pagi di Kilometer 111 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) berhampiran Kampung Pokok Asam, di sini, yang turut membabitkan tiga buah kereta.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zuker Md Isa berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas lori yang dinaiki mangsa bersama isteri merempuh belakang sebuah treler yang sedang bergerak perlahan di laluan kecemasan kerana tayar pecah.

Katanya, ketika kejadian lori dan treler berkenaan datang dari arah Butterworth, Pulau Pinang menghala ke Alor Setar.

"Akibat itu, tiga buah kereta jenis Perodua Viva, Hyundai Getz dan Suzuki Swift yang mengekori di belakang gagal mengelak turut melanggar lori berkenaan.

"Lori terbabit remuk teruk menyebabkan pasangan suami isteri itu tersepit di tempat duduk dan lelaki berkenaan yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Isterinya yang parah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini,untuk rawatan, manakala pemandu treler dan tiga kenderaan lain hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 8 Mei 2016




0 comments:

Post a Comment