May 6, 2016

Pilu lihat suami mati tergantung

Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my

Alor Setar: Seorang lelaki ditemui mati tergantung pada tali buaian di ruang tamu rumahnya di Jalan Sekolah Kuala Lanjut, Kubur Panjang, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira 11.30 pagi itu disedari adik mangsa yang ke rumahnya selepas gagal menghubungi abangnya dan memaklumkan kejadian kepada kakak iparnya.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang berusia 46 tahun berada di rumah bersendirian selepas isteri, 44, membawa anak bongsu mereka berusia tiga tahun keluar untuk membayar bil kira-kira sejam sebelum itu.

Menurut wanita terbabit, setiba di rumah, dia mendapati ahli keluarga dan jiran berkumpul sebelum terkejut melihat suaminya sudah tidak bernyawa dalam keadaan tergantung.

Dia yang ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, berkata suaminya bekerja sebagai penoreh getah dan mereka mempunyai dua anak berusia tujuh dan tiga tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan menerima laporan kejadian dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

myMetro 4 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment