May 6, 2016

Angkara masalah brek

ANGGOTA Bomba memberi bantuan kepada mangsa kemalangan. FOTO ihsan Bomba

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Nilai: Empat sekeluarga dalam perjalanan ke hospital untuk menjalani rawatan dialisis nyaris maut apabila Perodua Viva dinaiki dirempuh Mercedes-Benz di Kilometer 275.1 arah selatan, berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, petang tadi.

Kejadian 4.30 petang itu berlaku apabila Perodua Viva dipandu wanita berusia 30 tahun membawa suami, 37, untuk menjalani rawatan dialisis, ditemani kakaknya, 40, dan anak lelaki, 10, dirempuh dari belakang sebelum terbabas ke kiri jalan.

Difahamkan, kereta Mercedes-Benz dipandu lelaki berusia 41 tahun dari arah Kuala Lumpur ke Tangkak, Johor dipercayai mengalami masalah brek lalu merempuh kereta mangsa.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Mohd Syazwan Saidy berkata, dua jentera bersama 12 anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan dan tiba pada 4.39 petang.

"Sebaik tiba, semua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang ramai. Tiga mangsa cedera iaitu kakak pemandu patah bahu kanan dan suami pemandu cedera di dada. Manakala pemandu Mercedes cedera ringan.

"Ketiga-tiga mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

myMetro 5 Mei 2016




0 comments:

Post a Comment