May 9, 2016

Pembangunan bukan punca Putrajaya banjir

Dua kereta yang ditenggelami air ketika banjir kilat di Jalan Perpaduan, Putrajaya, Sabtu lalu. - Foto Fail

Putrajaya: Kepesatan pembangunan bukan faktor berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, Sabtu lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, siasatan awal Perbadanan Putrajaya (PPj) mendapati banjir berlaku akibat laluan air tersumbat oleh daun yang jatuh ke dalamnya.

Selain itu, katanya kadar curahan air hujan yang terlalu banyak iaitu 180 milimeter berterusan kira-kira sejam ketika kejadian yang dianggap fenomena luar biasa juga mendorong peningkatan air dalam longkang begitu cepat.

"Ini fenomena luar biasa untuk Putrajaya kerana hujan terlalu lebat berserta angin kencang yang turut menerbangkan daun kering masuk ke dalam longkang sehingga menyebabkan laluan air tersumbat.

"Hujan ini faktor semulajadi, kita tak boleh kawal ... walaupun perkara seumpama ini adalah di luar jangkaan sama sekali," katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen Putrajaya mengarahkan PPj mengkaji semula jenis pokok yang ditanam selain memastikan laluan air sentiasa dipantau bagi memastikan kejadian banjir kilat tidak berulang.

Dalam kejadian antara 6.30 petang hingga 7.30 malam Sabtu lalu, beberapa kawasan dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin menghala Dataran Gemilang di Presint 3 dan Presint 4 di sini, ditenggelami air.

myMetro 9 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment