May 9, 2016

Macam tsunami

ANGGOTA bomba memindahkan penduduk yang terjejas.

Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my

Kajang: “Tidak ubah seperti tsunami apabila air bah merempuh masuk ke dalam rumah secara mendadak. Dalam masa hanya seminit, air naik sehingga ke paras dada sebelum melepasi kepala tidak lama kemudian,” kata penduduk Kampung Sungai Tangkas, di sini, Emran Ramlay, 33.

Dia jelas masih terkejut dengan tragedi banjir kilat yang melanda perkampungannya yang turut menjejaskan 50 kediaman lain.

Menurutnya, kejadian bah yang berlaku mendadak sekitar jam 8 malam kelmarin, menyebabkan dia sekeluarga tidak sempat menyelamatkan perkakas di dalam rumah.

“Semua perabot dan barang elektrik musnah ditenggelami banjir kilat itu susulan hujan lebat yang berlaku bermula jam 6 petang.

“Air naik dengan begitu cepat mencecah 2 meter. Nasib baik tiada kanak-kanak ketika kejadian. Saya terpaksa bermalam di rumah saudara malam tadi (kelmarin) sebelum banjir mulai surut kira-kira jam 1 pagi (semalam),” katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga kemudian pulang untuk membersihkan rumah jam 7 pagi semalam.

Harian Metro difahamkan hujan lebat yang melanda daerah Kajang petang kelmarin menyebabkan beberapa kampung seperti Kampung Sungai Tangkas, Kampung Bangi Lama Tambahan, Sungai Ramal Dalam, Kampung Rinching Hulu dan Kampung Rinching Hilir ditenggelami air.

Malah, kejadian yang dipercayai berpunca daripada air Sungai Semenyih yang melimpah itu turut menyebabkan tebing sungai dan jambatan di Kampung Sungai Tangkas runtuh.

Tinjauan Harian Metro di kawasan berkenaan mendapati mangsa yang terbabit dalam kejadian itu sedang membersihkan rumah masing-masing yang dimasuki lumpur.

Mangsa turut mengambil peluang cuaca panas tengah hari semalam untuk menjemur barang yang basah selepas ditenggelami air.

Turut ditenggelami banjir adalah sebuah Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Muhammad Al Fate di Taman Ramal Ros, Sungai Ramal Dalam di sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Bangi Azmel Kamarudin berkata, pasukannya menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai berlaku banjir kilat di Kampung Bangi Lama Tambahan, di sini, jam 11.15 malam kelmarin.

“Seramai enam anggota dan pegawai bergegas ke lokasi untuk memindahkan seramai 50 mangsa menggunakan bot.

“Di Kampung Sungai Tangkas, seramai 50 penduduk ditempatkan sementara di balai kampung berkenaan manakala di Kampung Rinching Hilir dan Rinching Hulu di sini, seramai 30 serta lima mangsa ditempatkan di balai raya kampung terbabit,” katanya.

myMetro 9 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment