May 5, 2016

Nekad langgar motosikal penyamun

Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Seorang lelaki patah pergelangan tangan kiri apabila motosikal ditunggangnya bertembung kereta ketika melarikan diri selepas mencuri telefon bimbit milik seorang remaja perempuan di Kampung Dangar, petang tadi.

Dalam kejadian 3 petang, suspek berusia 33 tahun masuk ke dalam kedai dan mengambil telefon tetapi disedari mangsa berusia 18 tahun yang sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, mangsa mengejar suspek yang sedang menghidupkan enjin motosikal Honda C70 dan sempat berpaut pada lengan kiri suspek menyebabkan dia diseret sejauh 80 meter.

Katanya, mangsa terjatuh di tepi jalan dan cedera di kaki manakala suspek memecut motosikalnya tetapi motosikal suspek bertembung dengan kereta jenis Volkswagen.

“Lelaki itu terjatuh namun dia bangun dan cuba melarikan diri sekali lagi dengan motosikalnya. Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit nekad mengejarnya dan melanggar motosikal suspek.

“Lelaki itu kemudian ditahan dengan bantuan orang ramai dan diserahkan kepada polis. Dia dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

myMetro 4 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment