May 6, 2016

Tidur tak lena

WAN Su meriba anak, Jamil Izzuan di rumahnya di Kampung Setol, Teluk Air Tawar.

Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my

Butterworth: Seorang ibu tunggal tidak lena tidur kerana memikirkan masa depan berikutan rumah didiami terbabit dengan projek pembangunan sekolah dan pada masa sama perlu menguruskan anak orang kurang upaya (OKU) berusia 35 tahun.

Wan Su Darus, 58, dari Kampung Setol, Teluk Air Tawar, dekat sini, bergelut sendirian menguruskan anaknya, Jamil Izzuan Abdul Jalil yang memerlukan perhatian kerana seorang lagi anaknya, Shahrul Azman, 26, masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) manakala anak perempuan berkahwin dan tinggal berasingan.

Sebelum ini, ibu tunggal berkenaan mencari rezeki dengan bekerja sebagai tukang cuci, tetapi berhenti empat bulan lalu selepas terjatuh yang mengakibatkan tulang belakangnya retak.

Dia bertambah bingung apabila mendapat notis pemindahan pada 15 Mac lalu berikutan rumah yang didiami sejak 13 tahun lalu terbabit dengan projek pembangunan sekolah.

“Tanah yang saya diami asalnya tanah pusaka, tetapi entah macam mana boleh terbabit dengan projek pembangunan sekolah berhampiran.

“Notis berpindah dikeluarkan 15 Mac lalu dan tempoh diberi sehingga 15 Jun depan menyebabkan saya bingung memikirkan di mana hendak tinggal selepas ini,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Ketika ini, ibu tunggal berkenaan menyara anaknya dengan menggunakan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan dan menunggu keputusan permohonan bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Dia memerlukan RM700 sebulan bagi membeli keperluan Jamil Izzuan termasuk lampin pakai buang, tetapi tiada sumber pendapatan sejak empat bulan lalu.

Wan Su berkata, dia ditawarkan pampasan RM24,000 jika rumahnya dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan sekolah, tetapi enggan berpindah kerana tiada rumah lain.

“Kalau boleh saya tak mahu pindah kerana perlu menguruskan Jamil Izzuan termasuk memandikannya setiap hari sedangkan kami tiada tempat bergantung.

“Saya hilang arah tak tahu kepada siapa hendak mengadu sedangkan tempoh berpindah hanya sebulan lagi,” katanya yang berharap ada pihak tampil membantu.

myMetro 5 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment