May 13, 2016

Kuala Lumpur dilanda banjir kilat


ANTARA kawasan yang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat lebih sejam. FOTO ihsan Bomba

Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Hujan lebat sejak 6 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Bangsar, Jalan Semantan dan Jalan Pudu, di sini, mengalami banjir kilat.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, banjir kilat dilaporkan berlaku pada 7.30 malam.

"Seramai 28 petugas berada dalam keadaan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Hujan lebat melanda beberapa kawasan antaranya di sekitar Pusat Bandar, Jalan Kinabalu, Jalan Kuching, Jalan Tuanku Abdul Halim, Lebuh Raya Sultan Iskandar, Jalan Semantan, Brickfields, Bangsar, Jalan Pahang, Jalan Sentul, Jalan Tun Razak dan di beberapa kawasan lain.

"Sehingga kini tiada kejadian lain seperti pokok tumbang dilaporkan berlaku," katanya.

myMetro 12 Mei 2016


40 kereta terperangkap




KERETA terperangkap akibat banjir kilat. FOTO ihsan pembaca

Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Lebih 40 kereta terperangkap dan tenggelam di Jalan Semantan dan di pintu masuk Universiti Malaya (UM) berhampiran Masjid Ar-Rahman, di sini, akibat banjir kilat, malam tadi.

Hujan lebat bermula sekitar 6 petang dan berlarutan sehingga 8 malam.

Kesesakan teruk turut berlaku di Jalan Semantan, Jalan Pantai Baru dan Jalan Bangsar akibat banjir kilat.

Bagaimanapun, sehingga 8.30 malam hujan mula berhenti dan air beransur surut.

Tiada kemalangan jiwa dilaporan berlaku ketika kejadian.

myMetro 12 Mei 2016


Ratusan pemilik kereta cemas KL dilanda banjir kilat

PULUHAN pemandu terpaksa bergegas keluar dari kereta masing-masing selepas air naik dengan cepat di hadapan kondominium Duta Vista, Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.

Oleh AZZMAN ABDUL JAMAL dan RIDZAUDDIN ROSLAN

KUALA LUMPUR – Kira-kira 115 pemilik kenderaan pelbagai jenis berdepan detik cemas apabila kenderaan yang mereka dinaiki ditenggelami air banjir dalam dua kejadian berasingan di ibu kota semalam.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, kejadian pertama berlaku di hadapan kondominium Duta Vista di Jalan Duta dekat bangunan Parlimen mengakibatkan hampir 100 buah kenderaan terperangkap dalam banjir kilat ekoran hujan lebat sejak pukul 6.30 petang semalam.

Katanya, kejadian kedua pula berlaku di hadapan pintu masuk Universiti Malaya (UM) di Lembah Pantai melibatkan sebanyak 15 buah kenderaan.

“Seramai 20 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Hang Tuah dan Gombak Selatan telah dikejarkan ke Jalan Duta sebaik kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.15 malam.

“Pihak bomba juga telah mengerahkan seramai 13 pegawai dan anggota daripada BBP Seputeh dan Pantai untuk ke UM selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.39 malam,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kosmo 13 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment