May 13, 2016

Lopak bawa maut

KEADAAN pacuan empat roda dinaiki Mohd Izham yang terbabit kemalangan, kelmarin.

Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

Melaka: Seorang juruteknik syarikat telekomunikasi maut apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki bersama dua lagi rakan sekerja terbabit dalam kemalangan di Kilometer 216.7, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, lewat petang kelmarin.

Mohd Izham Sulaiman, 26, berasal dari Rusila, Marang, Terengganu maut di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala manakala dua rakannya iaitu pemandu pacuan empat roda Muhammad Syafiq Mohammad Jalani, 27, dan seorang lagi penumpang Mohd Faizul Rizal Mohd Zohdi, 31, patah kaki.

Difahamkan dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa bersama Muhammad Syafiq dari Masai, Johor dan Mohd Faizul Rizal dari Temerloh, Pahang, menaiki pacuan empat roda milik syarikat telekomunikasi mereka bekerja dari Johor Bahru ke Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, sejurus tiba di lokasi, kenderaan dipandu Muhammad Syafiq dipercayai hilang kawalan akibat melanggar lopak air sebelum terbabas ke tebing dan melanggar pokok serta berpusing beberapa kali.

“Difahamkan, ketika kejadian jalan basah menyebabkan kenderaan itu berpusing, tiga mangsa dalam pacuan empat roda terbabit tercampak keluar dan mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan meninggal dunia manakala pemandu serta penumpang tempat duduk belakang patah kaki dan dihantar ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan,” kata Asmadi.

Beliau berkata, pemandu pacuan empat roda itu patah kaki kiri manakala penumpang tempat duduk belakang patah kaki kanan dan cedera di kepala.

“Mangsa meninggal dunia dipercayai akibat cedera teruk di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, kenderaan terbabit ditempatkan di Balai Trafik Alor Gajah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 12 Mei 2016


Terbabas selepas langgar lopak air

Keadaan kenderaan dinaiki mangsa remuk. Gambar kecil: Mohd Izham.

SITI SHAHROSAMIRAH SHAHAHRMAN

ALOR GAJAH - Seorang juruteknik Telekom Malaysia (TM) maut apabila kereta pacuan empat roda dinaiki bersama dua rakan sekerja terbabas di Kilometer 216.7 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara, kelmarin.

Mohd Izham Sulaiman, 26, dari Marang, Terengganu maut di tempat kejadian selepas kenderaan milik syarikat tersebut dipercayai melanggar lopak lalu merempuh pokok dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang.

Difahamkan, mangsa bersama dua rakannya, Muhammad Syafiq Mohammad Jalani, 27 dan Mohd Faizul Rizal Mohd Zohdi, 31 dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki ketiga-tiga lelaki berkenaan hilang kawalan selepas melanggar lopak air sebelum terbabas ke tebing.

“Dipercayai kejadian menyebabkan kenderaan terbabas ke tebing dan melanggar pokok sebelum berpusing beberapa kali dan masuk semula ke laluan utama.

“Difahamkan, ketika kejadian jalan basah menyebabkan kenderaan itu berpusing, tiga mangsa dalam pacuan empat roda terbabit tercampak keluar.” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan penumpang hadapan meninggal dunia manakala pemandu serta penumpang tempat duduk belakang patah kaki dan dihantar ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan teruk di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat bagi bantu siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, ” katanya.

Sinar Harian 12 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment