May 8, 2016

Kain rentang khabar duka

FOTO Shaifulazhar Misri

Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my

Tangkak: Sebuah keluarga terpaksa menggantungkan kain rentang bagi memaklumkan pembatalan majlis perkahwinan hari ini berikutan kematian pasangannya selepas terbabit kemalangan di Singapura, Jumaat minggu lalu.

Bapa saudara arwah, Musa Basar, 50, berkata, walaupun sedih melihat kejadian itu di Facebook, mereka faham kesedihan keluarga berkenaan kerana mereka sendiri masih bersedih.

"Arwah Noor Helmee Roslan, 23, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Singapura ketika dalam perjalanan ke republik itu pada jam 3 pagi, Jumaat minggu lalu.

"Akibat kemalangan itu, majlis persandingan yang dijadualkan hari ini terpaksa dibatalkan dan kami faham keluarga pihak perempuan menggantung kain rentang untuk memberitahu tetamu yang mungkin tidak tahu kejadian sebenar.

"Malah, kami terpaksa mengubah majlis menyambut menantu pada 21 Mei ini kerana majlis itu sepatutnya membabitkan arwah serta adiknya yang sepatutnya bersanding bersama pasangan masing-masing," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu kisah sedih berkenaan diviralkan menerusi laman sosial Facebook (FB) yang memuatkan gambar kain rentang di pasang keluarga pengantin perempuan selepas terpaksa membatalkan majlis perkahwinan hari ini akibat kematian pasangannya.

Malah keluarga pengantin turut meminta orang ramai sedekah al-Fatihah kepada bakal pengantin lelaki di atas kembalinya arwah ke Rahmatullah.

myMetro 7 Mei 2016


Pesanan terakhir untuk Echa...

KAIN rentang yang digantung (gambar kiri). Echa bersama Allahyarham Nor Helmee sebelum kemalangan. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin dan ihsan Nur Khaiun Illyasha MusaNAIN AHMAD TAJUDDIN

Nabihah Kamal
nabihah.kamal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Jangan risau, saya akan jadikan awak wanita terakhir dalam hidup saya."

Itu antara kata-kata terakhir yang diucapkan Allahyarham Nor Helmee Roslan, 23, kepada bakal isterinya, Nur Khaiun Illyasha Musa, 23, beberapa hari sebelum maut akibat kemalangan jalan raya di Singapura, 28 April lalu.

Kisah Nur Khaiun Illyasha atau lebih mesra dengan panggilan Echa 'viral' di Facebook (FB) apabila keluarganya terpaksa menggantung kain rentang di rumahnya di Johor Bahru bagi memaklumkan majlis perkahwinannya semalam terpaksa dibatalkan kerana bakal suaminya sudah tiada.

Echa ketika dihubungi, di sini, berkata, masih terngiang-ngiang dengan kata-kata semangat yang diucapkan oleh bakal suaminya itu.

"Dia selalu ingatkan saya supaya jadi kuat. Jika suatu hari dia tiada siapa yang akan memberi 'support' (sokongan) kepada saya dan tenangkan saya. Saya mesti kuat," katanya yang sebak mengenangkan hubungan yang terjalin selama dua tahun berakhir dengan pemergian bakal suaminya.

Menceritakan kepiluan yang harus ditanggung, Echa berkata, dia sentiasa sedekahkan al-Fatihah apabila terkenangkan arwah.

"Apabila teringat barang hantaran kami seperti gelang, cincin pertunangan dan jam tangan yang dihadiahkan pada hadiah hari lahir saya terasa sangat sedih dan pilu. Saya hanya mampu sedekahkan al-Fatihah dan doa supaya dia tenang di sana.

"Walaupun saya nampak tabah, tetapi hati saya siapa yang tahu. Susah juga sebenarnya nak terima kenyataan namun saya harus reda," katanya.

Menurut Echa, selepas 'viral' FB mengenai kain rentang yang diletakkan di hadapan rumah dia banyak menerima komen positif.

"Ramai rupanya yang sayangkan dia dan turut memberi semangat kepada saya. Ramai orang sedekahkan al-Fatihah kepada dia.

"Itu adalah idea (kain rentang) daripada ahli keluarga saya kerana risau sudah menjemput ramai orang dan ini cara terbaik untuk memberitahu tetamu," katanya.

myMetro 8 Mei 2016





0 comments:

Post a Comment