May 8, 2016

Goncang 15 minit



Ahmad Saufi Mansor
opie@hmetro.com.my

Padang Terap: Hujan lebat disertai angin kencang selama 15 minit mengakibatkan bumbung beberapa bangunan sekolah agama Mujamma’ Darul Hadis, Pokok Macang, Kuala Nerang, di sini, mengalami kerosakan akibat diterbangkan ribut, kelmarin.

Difahamkan, kejadian berlaku jam 6.30 petang ketika 250 pelajar termasuk 70 pelajar perempuan berada di asrama bagi membuat persiapan sebelum menunaikan solat Maghrib.

Akibat kejadian itu, asrama lelaki mengalami kerosakan teruk akibat bumbung diterbangkan angin menyebabkan pakaian, tilam dan buku serta kitab rosak akibat dibasahi air hujan.

Kerosakan lain membabitkan bumbung dan siling bilik guru lelaki, kelas, surau, tempat memasak, rumah guru serta asrama perempuan dianggarkan RM100,000. Sumbangan dana juga diperlukan untuk pembaikan selain membeli peralatan atau buku yang rosak.

Ketua Jabatan Kokurikulum sekolah agama itu, Muhamad Mujahid Mohamad Fadzil berkata, kejadian bermula dengan hujan lebat sebelum diikuti angin kencang yang datang dari arah belakang asrama selama 15 minit hingga menyebabkan bumbung beberapa bangunan tercabut.

Menurutnya, warden kemudian mengarahkan pelajar yang berada di asrama keluar ke surau sebagai langkah keselamatan sebelum menutup suis elektrik utama.

“Pemeriksaan yang dilakukan sebaik hujan reda mendapati bumbung asrama lelaki mengalami kerosakan teruk akibat tertanggal di bahagian hujung sekali gus menyebabkan pakaian, tilam, buku dan kitab juga rosak dibasahi air yang bergenang di atas lantai.

“Kita juga mendapati bumbung dan siling beberapa bangunan lain juga mengalami kerosakan termasuk rumah guru dan asrama perempuan. Ketika ini, 40 penghuni lelaki dipindahkan sementara ke surau kerana bangunan asrama tidak sesuai untuk digunakan.

“Walaupun pada Rabu lalu beberapa kawasan berhampiran (di Kuala Nerang) dilanda ribut, tetapi ia tidak berlaku di sekolah ini, namun terjadi pula semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian ribut berkenaan adalah kali ketiga sejak sekolah terbabit dibuka sejak 1999, dan disifatkan paling buruk kerana mengalami banyak kerosakan pada bumbung.

Katanya, walaupun mengalami kerosakan teruk termasuk pada pendawaian elektrik, namun pihaknya bersyukur kerana tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Justeru, pihak kami melancarkan Tabung Baik Pulih Mujamma’ Darul Hadis untuk mengumpul dana kewangan bagi tujuan membaiki kerosakan berkenaan supaya pelajar dapat kembali tinggal di asrama dan belajar seperti biasa dengan selesa,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam 020-8401-0039-169 atau Bank Rakyat 113841000191 atas nama Mujamma’ Darul Hadis.

myMetro 7 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment