May 6, 2016

Hidup menumpang, pindah-randah

Latfi bersama Shamsiah dan anak-anak termenung melihat tapak rumah yang terbengkalai.


ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu perumpamaan dapat menggambarkan penderitaan tujuh sekeluarga kurang pendapatan yang terpaksa hidup berpindah-randah serta menumpang rumah orang lain kerana tidak memiliki rumah sendiri.

Lebih malang, keluarga Latfi Abdul Rahman, 49, dan pasangannya, Shamsiah Jusoh, 50, tidak menentu apabila rumah bantuan yang dijanjikan untuk didirikan di Kampung Senang, Kedai Lalat, di sini, terbengkalai sudah masuk tahun kelapan.

Akibatnya, mereka bersama lima anak lelaki yang berusia antara 10 hingga 18 tahun sering berpindah tempat tinggal dan kini menumpang di rumah adik angkat Shamsiah di Kampung Pasir Tok Kambing yang terletak kira-kira sekilometer dari tapak rumah yang terbengkalai.

Latfi berkata, dia hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,000 sebulan dan duit itulah yang digunakan untuk perbelanjaan makan minum seharian serta kos empat anak yang masih di bangku sekolah.

“Saya bekerja ikut trip, masa ada trip adalah duit, tetapi apabila tidak ada trip, maka duit gaji pun tidak ada. Isteri saya pula hanya suri rumah sepenuh masa dan tidak dapat bekerja kerana menghidap penyakit jantung serta lelah,” katanya.

Menurutnya, isterinya itu memerlukan rawatan dan sering berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan bekalan ubat-ubatan, malah anak ketiga mereka, Mohd Haikal, pula menghidap penyakit buah pinggang.

“Kami dapat bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) RM300 sebulan. Duit itu digunakan untuk kos ubatan isteri serta rawatan anak yang sakit. Perbelanjaan selainnya dibantu anak sulung yang bekerja di bengkel membaiki kenderaan. Dialah yang banyak berkongsi kesusahan kami anak-beranak,” katanya.

Sementara itu, Shamsiah berkata, adiknya kini tinggal di Sabah kerana mengikut suami yang berkhidmat sebagai anggota tentera dan akan pulang tidak lama lagi.

Katanya, selepas itu mereka akan hilang tempat tinggal dan tidak pasti nasib mereka selepas ini.

“Sebab itu, saya merayu sangat-sangat supaya ada pihak tidak kiralah dari kerajaan negeri atau pusat datang membantu menyiapkan rumah kami ini. Pelbagai surat dan permohonan sudah dibuat kepada pelbagai pihak, namun hasilnya tetap sama,” katanya.

Bagi pihak yang mahu menghulurkan bantuan kewangan boleh menyalurkan ke akaun BSN Shamsiah Jusoh 0300341000064741.

Sinar Harian 2 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment