May 6, 2016

Tentera antara lima dituduh membunuh

Kuala Lumpur: Seorang anggota tentera bersama dua pasang anak beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi menghadapi pertuduhan membunuh seorang lelaki, bulan lalu.

Ahmad Saipunizam Mohd Pirus, 35, anggota tentera, Ahmad Bohari Mohamad Noor, 51, pemandu teksi dan anaknya Muhamad Haire Ahmad Bohari, 23, pekerja sebuah pasar raya serta Atan Mad Sah, 49, dan anaknya Suhaimi Atan, 23, kedua-duanya mekanik, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh. Mahkamah menetapkan 1 Julai untuk sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat mangsa.

Mereka bersama-sama lima individu lain, sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang, didakwa menyebabkan kematian Liew Han Yuen, 48, di Jalan PPR Kg. Limau, Pantai Dalam antara 11.40 malam, 14 April hingga 1.30 pagi 15 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

BERNAMA 4 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment