May 11, 2016

Guru reda terima ketentuan Ilahi

Sarah bergambar bersama ibunya selepas menyampaikan hadiah.

NORADILA MAHAMAD

KUALA TERENGGANU – “Apa sahaja keadaannya, saya kena kuat dan reda kerana ini anugerah ALLAH SWT kepada saya. Siapa yang mahu anak dilahirkan normal kemudiannya menjadi anak orang kurang upaya (OKU), tetapi ini pahala yang ALLAH nak bagi kepada kami sekeluarga,” luah seorang ibu, Nizawati Taib, 42.

Kegembiraan Nizawati dan suami, Ahmad Nazaruddin Ali, 45, menimang cahaya mata pertama bertukar duka apabila puteri sulung daripada enam beradik, Sarah Sofiah, 15, mengidap demam panas sehingga koma selama sebulan.

Ekoran itu, Sarah Sofiah kini dibesarkan seperti kanak-kanak kecil biarpun usianya 15 tahun di kelas Program Pendidikan Khas Integrasi SMK Manir.

Menurut Nizawati yang juga seorang guru di SMK Manir berkata, dia akan tolak ke tepi apa sahaja tanggapan orang di sekeliling mengenai anak istimewanya itu dan terus melangkah ke hadapan tanpa menoleh ke belakang.

“Kadang-kadang ada saja orang di sekeliling mengata kepada anak saya kerana dia (Sarah) bersikap kebudak-budakan, perangai tidak seperti usianya dan juga suka bergaul dengan kanak-kanak seusia empat atau lima tahun, tetapi saya maafkan mereka kerana mungkin mereka tidak faham apa yang berlaku kepada Sarah.

“Ketika menerima khabar daripada doktor yang merawat Sarah memberitahu sel-sel otak Sarah banyak sudah mati dan dia akan lumpuh dan sebagainya, dunia saya seakan gelap kerana sukar untuk menerimanya dan kini saya reda dengan ketentuan ini.

“Sebab itu sekarang, saya fobia nak hantar anak-anak ke hospital kerana bimbang akan jadi perkara sama, kalau mereka demam atau sakit, saya akan cuba sembuhkan mereka secepat mungkin di rumah,” ceritanya kepada Sinar Harian sempena Sambutan Hari Ibu di SMK Manir, di sini, semalam.

Dalam masa sama, Nizawati tidak menafikan, dia masih trauma dengan kejadian menimpa Sarah, namun ibu ini cekal mengharungi cabaran mempunyai anak istimewa malah lima lagi adik beradik lain dapat menerima kakak mereka sebegitu rupa.

“Anak-anak dah biasa dengan Sarah, mereka dah faham apa yang perlu dilakukan untuk Sarah kerana dia jarang bercakap kecuali diberi cerita kartun kegemarannya seperti Upin dan Ipin dan sebagainya.

“Kalau dengan kita (keluarga), dia jarang bercakap dan saya hanya melihat reaksinya sahaja tapi kalau tengok kartun, apa yang kartun tu cakap (skrip) dia hafal,” katanya.

Sinar Harian 9 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment