May 11, 2016

‘Kami hilang punca pendapatan’

Skuad Sayang Wanita Larut turut hadir ke rumah Hamidah membuat lawatan.

Nurul Mazwana Hamdan

BATU KURAU - Seorang ketua keluarga runsing memikirkan nasib isteri dan empat anaknya selepas dibuang kerja sejak hampir lima bulan lalu.

Mohd Syukri Sabran, 42, berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai pengawal keselamatan dan sering mengambil cuti kerana terpaksa berulang alik ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh menghantar isterinya yang menghidap penyakit kanser rahim dan paru-paru.

Menurutnya, penyakit yang dihidapi isterinya, Hamidah Mat Isa, 32, itu hanya diketahui selepas melahirkan anak keempat mereka enam bulan yang lalu.

"Ketika ini, penyakit barah yang dihidapi isteri berada di tahap empat dan perlu menjalani rawatan susulan sebanyak empat kali sebulan di Ipoh.

"Saya akan berulang-alik menaiki motosikal untuk menghantar isteri ke HRPB.

“Selepas itu, saya akan pulang semula ke rumah kerana perlu menjaga anak-anak yang masih kecil.

“Anak berusia lapan, tujuh dan empat tahun, manakala yang bongsu berumur enam bulan,” katanya.

Jelas Mohd Syukri, selepas diberhentikan, dia kini mengambil upah mengopek ikan bilis dengan bayaran sebanyak RM16 untuk 10 kilogram.

“Pendapatan ini walaupun tidak mencukupi namun mampu menampung perbelanjaan harian,” katanya.

Tambah Mohd Syukri, kini dia dan isteri runsing apabila bayaran bil hospital masih ada yang tertunggak.

“Beberapa surat peringatan diterima kerana bayaran tidak dilunaskan,” katanya.

Katanya, dia dan isteri tetap bersyukur kerana turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan atas nama anak.

“Wang ini digunakan untuk perbelanjaan anak-anak kerana dua daripada mereka sudah bersekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Larut, Saliza Ahmad berkata, masalah dihadapi keluarga berkenaan telah dipanjangkan kepada pengetahuan pihak Pejabat Dun Batu Kurau.

“Malah difahamkan pihak Pejabat Dun Batu Kurau bersetuju untuk memberikan perkhidmatan kenderaan kepada Hamidah bagi memudahkannya untuk ke hospital.

“Sehingga kini Hamidah masih mendapat rawatan di HRPB dan selepas ini dimaklumkan bahawa dia perlu mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang pula,” katanya.

Kepada orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi mereka di talian 017-590 4723 atau di alamat 413 Jalan Kampung Perak, Batu Kurau.

Sumbangan juga boleh disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) 08228-29- 00038805-1 atas nama Mohd Syukri.

Sinar Harian 9 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment