May 11, 2016

Empat maut angkara lembu

IDENTITI mangsa masih dalam siasatan. FOTO ihsan pembaca

Maiamalina Mohamed Amin dan Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

Gua Musang: Empat lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 10 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Renok, di sini.

Kejadian 7.30 malam tadi turut membabitkan sebuah kenderaan lain dan seekor lembu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, semua mangsa lelaki dipercayai warga Indonesia dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) di sini untuk rawatan dan bedah siasat.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Camry dipandu seorang lelaki dari arah Gua Musang hilang kawalan selepas merempuh lembu yang tiba-tiba melintas jalan,” katanya.

"Akibatnya, kereta itu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Iswara dinaiki lima mangsa dari arah Kuala Krai.

"Empat daripadanya maut, manakala seorang parah. Pemandu kereta Toyota Camry turut cedera dan lembu mati," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, identiti semua mangsa terbabit masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Anuar Abas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira 7.30 malam.

Katanya sepasukan 12 anggota ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa tersepit dan mengawal keadaan.

myMetro 9 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment