May 11, 2016

Lelaki acu pisau ke arah ibu

BESUT - Anak durjana! Itulah gelaran layak diberikan kepada seorang pemuda berusia 25 tahun apabila tergamak mengacukan pisau kepada ibunya yang bisu sebelum ‘menyamun’ barang kemas mangsa dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Darau, Hulu Besut di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Rabu lalu, suspek telah mengugut untuk mencederakan ibunya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) berusia 62 tahun.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek yang merupakan penagih dadah bertindak mengugut ibunya sendiri dengan sebilah pisau dan meminta mangsa menyerahkan barang kemas miliknya yang disimpan di dalam almari.

Menurutnya, mangsa yang bimbang keselamatan dirinya terpaksa menyerah beg miliknya yang mengandungi satu bentuk cincin emas dan dua pasang subang emas.

“Sebaik menyamun mangsa yang juga hidup susah itu, suspek terus melarikan diri namun berjaya diberkas bersama sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek sejurus selepas kejadian ini dilaporkan kepada polis,” katanya.

Mohd Zamri berkata lagi, kejadian itu didakwa bukan kali pertama dilakukan suspek sebaliknya dia yang tinggal bersama ibu bapanya kedua-duanya bisu itu sebelum ini sering mengugut mangsa untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

Katanya, semakan rekod mendapati suspek mempunyai sepuluh rekod jenayah dadah termasuk satu rekod di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memilih dadah.

“Saringan ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine (pil kuda) sementara siasatan awal polis mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut.

“Dia mengaku telah menjual barang kemas yang disamun dijual kepada seorang pengedar dadah untuk ditukarkan dengan dadah dan susulan itu usaha mengesan pengedar dadah terbabit giat dijalankan,” katanya.

Kata Mohd Zamri, kes ini disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun menggunakan senjata.

Sinar Harian 10 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment