May 5, 2016

Gurauan mahu pulang petanda ajal

Kemalangan berlaku di KM 3.2 Jalan Bernam pagi tadi.

TANJONG KARANG - Gurauan mahu 'pulang terus' rupa-rupanya menjadi  kata-kata terakhir Muhammad Safiq Hasan Adli, 22, yang maut bersama dua rakannya di KM 51 Jalan Klang-Teluk Intan, di Sungai Terap kira-kira jam 8 pagi, tadi.

Dalam kejadian itu, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah lori secara berdepan.

Abang sulong mangsa, Amyrul Asraf Hassan Adli, 25, berkata, adiknya ditemani dua rakannya, Mohd Mohyiddin Mohd Subari @ Sarman, 50, dan Ahmad Mustakim Mohd Ngali, 37, dalam perjalanan pulang dari KLIA selepas menghantar seorang pekerja warganegara Indonesia.

"Saya tak sangka jadi begini...lagi teringat bila kata Safiq yang mahu pulang terus ke kampung bila bulan puasa nanti..kata nak tolong emak buat kerepek kat kampung.

"Tak sangka katanya secara gurauan 'balik kampung terus' itu akhirnya menjadi tanda dia pergi buat selama-lamanya," katanya sebak.

Amyrul Asraf berkata,  sebelum kejadian dia menerima panggilan allahyarham adiknya yang dalam perjalanan pulang ke Sabak Bernam dan bertanya khabar sambil mengajak bersarapan sama.

"Masa Safiq telefon iaitu setengah jam sebelum kejadian, dia kata sudah sampai Kapar dan ajak nak 'medang' sama tapi saya menolak sebab ada urusan kerja. Safiq pun sempat telefon kampung dan bercakap dengan emak dengan adik di rumah.

"Kira-kira 1 jam kemudian, saya dapat berita daripada adik di kampug memberitahu Safiq maut terlibat kemalangan. Saya pun bergegas ke tempat kejadian," katanya.

Katanya lagi, dia tinggal bersama Safiq di Ijok dan bekerja di tempat yang sama di sebuah syarikat swasta di Sungai Buloh.

"Kali terakhir jumpa Safiq masa kumpul bersama beradik lain pada 1 Mei lalu di rumah keluarga di kampung Sungai Tengar...itulah kali terakhir kami berjumpa," katanya.

Wartawan Sinar Harian
4 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment