May 5, 2016

Ikan kaloi ‘pengganti’ arwah anak

GUA MUSANG - Ibu mana yang tidak sedih dan terkilan apabila anak yang menjadi harapan keluarga hilang sekelip mata tanpa sebarang pesan.

Bukan sahaja anaknya, malah menantu, Faezah Mohd Noor, 28, dan cucu lelaki, Mohamad Firas Ziyad, berusia enam bulan turut ‘pergi’ bersama dalam satu kemalangan maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan lori muatan balak di Kilometer 48, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, 27 Mac lalu.

Bagi Rohana Che Dollah, 47, dia tidak pernah menyangka arwah anaknya, Mohamad Zahiruddin Hadi, 24, pergi terlebih dahulu daripadanya dalam tragedi yang meragut nyawa tiga beranak itu.

“Kalau ikutkan, saya juga mungkin berada dalam kereta itu kerana arwah mengajak saya mengikutnya ke Kok Lanas bagi menghadiri majlis kenduri keluarga arwah menantu.

“Namun, saya tidak dapat mengikuti mereka kerana mereka mahu pergi beberapa hari sedangkan saya ada urusan lain di rumah. Malah, di hari kejadian itu, cucu saya genap usia enam bulan,” katanya yang baru bersedia bercerita selepas sebulan tragedi itu berlaku.

Biarpun reda dengan kehilangan itu, sesekali rasa rindu itu bertandang di hati membuatkan dirinya sebak kerana Zahiruddin adalah anak yang paling rapat dan dekat dengannya dan suami.

“Dalam lima orang anak, arwah paling dekat dengan kami. Malah, dia juga yang banyak membantu kami dalam perbelanjaan termasuk bil-bil di rumah. Setiap minggu mereka balik melawat saya dan suami kerana arwah kerja di Gua Musang.

“Cuma, kebelakangan sebelum ini, dia lebih kerap balik, selang sehari. Malah arwah juga banyak mendiamkan diri. Arwah juga pernah berjanji dengan saya untuk membawa kami suami isteri ke Tanah Suci,” katanya sambil menyeka air mata.

Tambah Rohana, bagi mengubat kerinduan terhadap anak ketiganya itu, dia mengambil alih memelihara ikan kaloi peliharaan arwah.

“Barang-barang peninggalannya seperti basikal, pakaian dan kereta akan kami simpan. Malah, ikan kaloi ini saya akan jaga sebaik mungkin kerana arwah amat sayangkan ikan itu,” katanya yang menetap di Felda Chiku 07, di sini.

Wartawan Sinar Harian
5 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment