May 11, 2016

Gadis cari bapa wali nikah

Nur Zaitie menunjukkan gambar bapanya yang gagal dijejaki sejak 22 tahun lalu.

NUR FARHANA ABDUL MANAN

PUCHONG - Seorang gadis buntu apabila usaha mencari bapa kandungnya belum menemui jalan penyelesaian bagi mewalikan pernikahannya yang bakal berlangsung 29 Mei ini.

Nur Zaitie Zaipu, 22 berkata, dia terpisah dengan bapanya, Zaipu Mat Yunus, 43, sejak berusia empat bulan iaitu kira-kira 22 tahun lalu.

Menurutnya, dia langsung tidak pernah bertemu atau mengenali wajah bapanya kecuali melalui sekeping gambar yang masih disimpan ibunya, Zarina Ludin, 42.

Jelasnya, bapanya yang berasal dari Jeli, Kelantan, menghilangkan diri selepas bercerai dengan ibunya pada 1994.

Nur Zaitie yang kini menetap di Flat Puchong Permai berkata, dia satu-satunya anak hasil perkahwinan ibu dan bapa kandungnya itu.

Sehingga kini, dia sendiri tidak tahu sama ada bapanya masih hidup atau tidak malah gagal mengesan lokasi terakhir tempat tinggal  lelaki tersebut.

Lebih menyukarkan lagi keadaan, dia gagal menjejaki keluarga sebelah bapanya malah ibunya juga gagal mengingati lokasi rumah keluarga lelaki itu di Kelantan.

“Mak saya pernah cuba cari adik perempuan ayah di tempat kerja lamanya, tapi pihak syarikat beritahu emak saudara saya tu dah lama berhenti. Kini, kami tak tahu macam mana lagi nak kesan dia.

“Saya bakal melangsungkan perkahwinan dengan pasangan, Muhammad Nizam Mohammad Aziz, 20, pada hujung bulan ni, disebabkan gagal cari bapa, pejabat agama minta saya iklankan pencarian wali sebelum menggunakan khidmat wali hakim,” katanya.

Berbaki kira-kira 20 hari sahaja untuk menyempurnakan urusan borang pernikahan, usaha mengiklankan pencarian di akhbar baru sahaja dapat dibuat selepas beberapa hari dia dibenarkan keluar dari hospital.

Sehubungan itu, katanya sesiapa yang mengenali bapanya atau mempunyai maklumat berhubung lelaki itu boleh berhubung dengannya di talian 012 3747959.

Sinar Harian 10 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment