May 11, 2016

Lebih sejam tersepit dalam treler

Anggota bomba dalam usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan, semalam.

Keadaan treler 18 tan yang terbabas dan terbalik di bahu jalan susur masuk ke Bandar Dato’ Onn, semalam.

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu treler terpaksa menahan kesakitan lebih sejam selepas tersepit dalam kenderaan berat yang terbalik di Kilometer 4, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran susur masuk ke Bandar Dato’ Onn, pagi semalam.

Mangsa, Mislan Md Darjat, 32, memandu treler 18 tan bersendirian, membawa muatan kabel elektrik sebelum hilang kawalan dan terbabas ketika melalui selekoh di lokasi kejadian, menyebabkan terbalik di bahu jalan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangkar Tebrau, Ronnie Robert berkata, seramai 10 anggota segera ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira  jam 11.46 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 11.53 pagi, pihaknya mendapati sebuah treler 18 tan terbabas dan terbalik di susur masuk Bandar Dato’ Onn.

“Kita ambil masa lebih sejam mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu kerana menunggu kelengkapan kren awam untuk meminta bantuan.

“Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan dan tidak mengalami kecederaan serius, selain cedera di tangan kanan. Dia dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asistan Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kejadian itu tidak membabitkan kenderaan lain dan mangsa tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kemalangan itu menyebabkan kesesakan teruk lebih sejam di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, memandangkan susur masuk ke Bandar Dato’ Onn ditutup sementara untuk melancarkan usaha menyelamat mangsa yang tersepit.

Sinar Harian 10 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment