May 11, 2016

Cari ibu kandung bagi urusan persekolahan



10 Mei 2016
Cari ibu kandung bagi urusan persekolahan
Mat Hussin menunjukkan sijil kelahiran Muhammad Aiman Haikal dan foto Alyna bersama suaminya yang berada dalam simpanannya.

Alyna (kiri) diminta tampil atau menghubungi Mat Hussin.

SAPINAH AB GHANI

KOTA BHARU - Seorang bapa angkat mencari ibu kandung kepada anak yang dibesarkan sejak tujuh tahun lalu bagi menyelesaikan masalah menempatkan kanak- kanak itu di sebuah sekolah di sini.

Mat Hussin Said, 55, berkata, anak angkatnya, Muhammad Aiman Haikal Abdullah yang diserahkan kepadanya tiga hari selepas dilahirkan menghadapi masalah untuk meneruskan persekolahan berikutan maklumat diri tidak lengkap.

“Dia pernah dihantar ke sebuah sekolah di sini selama seminggu, namun disebabkan kegagalan mengesan latar belakangnya, dia dinasihatkan untuk tidak meneruskan persekolahan buat sementara waktu sehingga masalah tersebut diselesaikan.

“Saya kemudian menemui beberapa pihak berkaitan bagi menyelesaikan masalah ini sekali gus membolehkan Muhammad Aiman kembali ke sekolah, sebelum dia dibenarkan meneruskan persekolahannya beberapa hari selepas itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mat Hussin berkata, meskipun dibenarkan meneruskan persekolahan di sekolah berkenaan, namun status Muhammad Aiman sebagai ‘pelajar tumpang’ membuatkan dirinya kurang selesa dan berharap ia segera diselesaikan.

“Namun, selepas beberapa bulan meneruskan persekolahan, Khamis lalu sekali lagi anak angkat saya ini diminta untuk tidak hadir ke sekolah sehingga masalah mengenai maklumat dirinya itu selesai dan penyelesaiannya hanya akan diperolehi selepas ibu kandungnya ditemui,” katanya.

Dia berkata, walaupun Muhammad Aiman Haikal hanya anak angkat, namun dia sudah menganggap Haikal seperti anak kandungnya sendiri dan berharap kanak- kanak itu dapat meneruskan persekolahan seperti mana murid- murid lain.

“Sedih, sebak bercampur baur mengenangkan nasib Muhammad Aiman, pernah saya terfikir untuk tidak hantar dia ke sekolah kerana terlalu banyak kesulitan dihadapi, tapi bila mengenangkan permintaannya yang setiap masa minta ke sekolah, menyebabkan saya nekad memenuhi keinginannya,” katanya.

Mat Hussin yang juga pemandu bas berkata, usaha menjejaki Alyna, ibu kandung Muhammad Aiman seorang warganegara Indonesia dilakukan sejak tujuh tahun lalu, namun sehingga kini gagal ditemui.

“Saya sudah merujuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Pendidikan Daerah dalam usaha menyelesaikan perkara ini dan berharap inisiatif menggunakan saluran media ini akan membantu menemui Alyna yang dipercayai masih berada di negara ini,” katanya.

Sinar Harian 10 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment