May 11, 2016

Berkorban untuk isteri tercinta

Mohd Hadzrik terpaksa memapah isterinya untuk bergerak di dalam rumah.

NOOR AZURIN MOHD SHARIF

MELAKA - "Dulu arwah ibunya. Kemudian arwah adik lelakinya. Sekarang giliran isteri saya pula," kata Mohd Hadzrik Mohamad, 39, mengenangkan nasib isteri, Salinah Amsan, 34, yang disahkan sakit saraf oleh doktor sejak 2008.

Menurut Mohd Hadzrik, isterinya tidak mampu menguruskan kehidupan sendiri lagi pada usia yang muda.

Dia yang tinggal di Kampung Sebatu, Merlimau, berkata, penyakit isterinya kini bertambah teruk dan hanya mampu tinggal di dalam rumah kerana tidak mampu berjalan sempurna.

“Masa mula-mula dulu dia sakit, dia masih boleh berjalan sendiri lagi. Tapi sekarang, saya kena papah walau ke mana saja. Kalau tak nanti dia jatuh. Begitu juga kalau mahu ke bilik air, saya kena tunggu depan pintu sampai dia selesai mandi.

“Jika saya keluar bekerja, tinggal dia dengan ayah sahaja di rumah. Hati mana yang tidak risau mengenangkan keadaannya di rumah seorang diri tanpa saya. Tapi nak buat macam mana, saya perlu bekerja," katanya.

Menurutnya, sekarang sudah masuk lapan tahun isterinya menghidap sakit saraf yang diwarisi daripada Allahyarham ibunya yang meninggal dunia ketika isterinya masih di bangku sekolah.

Manakala, katanya, adik lelaki isterinya pula meninggal dunia pada 2013.

Mohd Hadzrik berkata, dia tidak mampu membeli alat sokongan bagi membolehkan isterinya berjalan kerana pendapatan bulanan sebagai kelindan lori tidak mencukupi, selain perlu menanggung ayah mentua yang menghidapi masalah penglihatan dan pendengaran.

"Sehingga kini, tak ada menunjukkan perkembangan positif walaupun dah macam-macam usaha saya lakukan termasuk berjumpa doktor dan dukun,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Salinah berkata, dia malu melihat keadaan dirinya yang tidak lagi mampu melakukan apa-apa pada usia muda.

“Ini dugaan yang saya perlu tempuhi. Namun, saya bersyukur kerana suami masih berada di sisi sehingga kini menjaga makan minum saya dan ayah. Mula-mula dulu, saya tak begitu kuat, malu nak berhadapan dengan orang ramai. Saya akan menggigil jika bercakap. Tangan saya juga. Tak macam orang lain.

“Saya mahu sihat seperti sedia kala, kalau boleh nak keluar boleh berjalan sendiri tanpa bantuan kerusi roda ataupun dipimpin. Saya tidak lagi mampu lagi nak masak untuk suami, malah semuanya kini dia yang galas tugas saya,” katanya yang sudah bersama suaminya sejak 2005.

Bagi mereka yang mahu membantu, boleh hulurkan sumbangan kepada Salinah melalui akaunnya, 15405-3522-095 (Maybank) atau menziarahi rumahnya di Kilometer 28 Jalan Sidang Mat Dan, Kampung Sebatu, Merlimau.

Sinar Harian 9 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment