May 5, 2016

Bapa cari anak terpisah 23 tahun

Yoon Fatt menunjukkan gambar yang dipercayai anaknya bernama Teoh Chia Ting beralamat di Taman Cahaya, Kampung Jawa, Kuantan di Pejabat Pembela BN Melaka, semalam.

AYER KEROH - Seorang lelaki berharap dapat bertemu semula dengan anak kandungnya yang hilang ketika ditinggalkan sementara bersama seorang kenalan di Kota Bharu, Kelantan, 23 tahun lalu.

Chong Yoon Fatt, 57, yang berasal dari Batu Gajah, Perak berkata, perpisahan tersebut terjadi pada 1994 apabila dia membawa anak lelakinya yang ketika itu berusia baru 18 bulan ke Kota Bharu, Kelantan bagi melawat isteri yang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah di sana.

Ketika menceritakan detik tersebut, Yoon Fatt berkata semasa itu dia baru sahaja melawat isteri dan singgah sebentar di satu kedai makan lalu sempat berkenalan dengan pemilik kedai terbabit.

Katanya, walau hanya berkenalan dalam tempoh agak singkat, dia mempercayai kejujuran pemilik kedai tersebut yang bersetuju untuk menjaga sementara anak lelakinya yang berusia 18 bulan.

“Memikirkan keadaan saya ketika itu yang tiada tempat tinggal akhirnya saya bersetuju untuk meninggal anak hanya semalam sahaja bersama keluarga taukeh berkenaan.

"Turut ditinggalkan adalah dokumen kanak-kanak terbabit terutama sijil kelahirannya. Bagaimanapun, pada keesokannya sebaik mahu mengambil anak saya semula, taukeh kedai terbabit memberitahu bahawa dia sudah menyerahkan anak saya kepada orang lain.

“Saya amat kesal dan marah. Ketika itu berlaku pertengkaran mulut di antara kami dan penyudahnya saya membuat satu laporan polis mengenai kehilangan anak di Kota Bharu pada hari yang sama,” katanya.

Yoon Fatt berkata, hampir setiap tahun dia akan ke Kota Bharu terutama ketika hari perayaan dan cuti umum dengan harapan dapat bertemu dengan anaknya tetapi sehingga kini usahanya masih hampa.

“Cuma sedikit memberi harapan buat saya apabila mendapat tahu anak saya kini berada di Kuantan dan dipelihara oleh sebuah keluarga," katanya.

"Daripada maklumat yang diterima, keluarga terbabit juga sudah menukarkan namanya kepada Teoh Chia Ting dan beralamat di Taman Cahaya, Kampung Jawa, Kuantan,” katanya yang kini hanya bekerja di sebuah restoran di Melaka.

Jelasnya, dia berharap dapat bertemu dengan anaknya itu walaupun seketika demi untuk menerangkan perkara sebenar.

“Saya bimbang, anak saya beranggapan kononnya saya telah menjualnya tetapi percayalah saya langsung tiada niat untuk menjualnya. Saya amat sayangkannya. Itulah sahaja anak yang saya ada.

“Sebelum saya meninggal dunia, kalau boleh saya nak jumpa anak walau sekejap.

"Saya tidak mahu dia salah faham kononnya saya telah menjualnya. Sebenarnya tidak. Puas saya mencarinya sehingga kini. Malah isteri saya selepas keluar penjara pun ada mencarinya tetapi gagal,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Aziz berkata, orang ramai yang mengenali remaja terbabit yang kini menggunakan nama Teoh Chia Ting dan beralamat di Taman Cahaya, Kampung Jawa, Kuantan diharap dapat menghubungi talian bebas tol Pembela BN 1-300-222-352.

Wartawan Sinar Harian
29 April 2016

0 comments:

Post a Comment