May 5, 2016

Lapan kenderaan bertembung di Nilai


Keadaan Honda City remuk dalam kemalangan terbabit.

Anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa dari kenderaan.

NILAI - Selepas nahas membabitkan tujuh kenderaan berlaku di Kilometer 174 Lebuhraya Utara - Selatan (Plus) di Jasin pada sebelah pagi, situasi hampir serupa pula berlaku di Kilometer 45 Lebuhraya Elite, petang semalam.

Lapan kenderaan bertembung sesama sendiri di kawasan lebuh raya terbabit menghala arah selatan, sekitar jam 3.15 petang.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II Khairullizal Abu Kasim berkata, kenderaan terlibat adalah Perodua Kembara, Perodua Alza, Perodua Myvi, Perodua Kenari, Perodua Kancil, Perodua Viva, Toyota Camry dan Honda City.

“Kemalangan menyebabkan kesesakan teruk hampir enam kilometer. Kita ambil keputusan menghentikan jentera di tepi jalan dan menyeberang lebuh raya berkenaan bagi menjimatkan masa.

“Setibanya di lokasi, kita dapati empat daripada 20 mangsa mengalami kecederaan, manakala selebihnya selamat tapi masih terkejut dengan kemalangan itu,” katanya.

Menurutnya, tiga daripadanya masih berada dalam kenderaan dan hanya seorang saja sudah dikeluarkan lebih awal dengan bantuan orang awam.

“Orang ramai tidak berani mengeluarkan dua mangsa dalam Honda City dan seorang dalam Toyota Camry kerana bimbang kecederaan pada bahagian dada, pinggang dan kaki mereka akan bertambah serius.

“Keempat-empat mangsa yang cedera kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke hospital. Difahamkan mereka semua sedang berkonvoi ke selatan tanah air untuk bercuti,” katanya yang turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat KLIA.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin mengesahkan menerima laporan berhubung insiden berkenaan.

“Mangsa yang cedera sudah berada di Hospital Putrajaya. Setakat ini tiada kematian dilaporkan dan kita masih menyiasat punca kemalangan,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
1 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment