May 5, 2016

Penunggang motosikal maut motor bertembung lori

Keadaan motorsikal mangsa selepas terlibat kemalangan di Kilometer 40.5 Jalan Johor Baharu - Mersing bertentangan River Bay Seafood, malam tadi.

MASTURAH SURADI

KOTA TINGGI - Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 40.5 Jalan Johor Baharu - Mersing bertentangan River Bay Seafood, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu menyebabkan mangsa, Mohd Khairi Mohd Idris, 32, beralamat di Kampung Makam meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu dari arah Mersing ke Johor Bahru mengelak sebuah kereta menyebabkannya termasuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

"Akibat kemalangan ini penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di hospital.

"Manakala pemandu lori berusia 31 tahun beralamat di Kampung Hubong, Endau tidak mengalami sebarang kecederaan,"katanya.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan lorong dua hala, mempunyai garisan putih berkembar sebagai pembahagi jalan.

"Permukaan jalan kering dan keadaan cuaca baik waktu senja. Manakala kawasan persekitaran merupakan kawasan belukar. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"katanya lagi.

Sinar Harian 22 April 2016


0 comments:

Post a Comment