April 19, 2016

UiTM bantu pelajar miskin


Muhamad Rahimi menyerahkan wang tunai RM5000 kepada Siti Fatimah.

TUMPAT - Nasib penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berhenti belajar akibat kemiskinan hidup serta perlu menjaga ibu sakit dan dua adik kurang upaya mendapat perhatian Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Pengerusi Agihan Zakat UiTM, Profesor Dr Muhamad Rahimi Osman berkata, pihak universiti akan membantu dari segi kewangan dan kemudahan tempat tinggal sehingga penuntut berkenaan tamat pengajian.

“Sumbangan segera RM5,000 disalurkan kepada pelajar ini, dia boleh menyambung pengajiannya bila-bila masa.

“Kita juga akan sediakan tempat tinggal untuk dia bersama keluarganya nanti bagi memastikan dia dapat belajar dan bersama ibunya yang sakit.

“Dia juga layak menerima elaun RM900 setiap semester,” katanya mewakili Datuk Dr Hassan Said selepas melawat Tengku Nor Syazni Tengku Razlan, 20, sekeluarga di Pulau Teluk Rejuna, petang semalam.

Hadir sama, Pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Tengku Nor Syazni terpaksa berhenti belajar di UiTM Shah Alam akibat kemiskinan hidup.

Bahkan ujian berganda menimpa keluarga itu apabila ibunya, Siti Fatimah Daud, 48, disahkan mengidap penyakit buah pinggang kronik selain mempunyai dua anak OKU.

Tengku Nor Syazni merupakan anak sulung daripada empat beradik terpaksa korbankan impian tamat belajar demi menjaga ibunya serta adik bongsu, Tengku Nor Fazliana, 13, yang menghidap Carebal Palsy dan Tengku Syazwani, 15, pelajar lembam.

Manakala seorang lagi adiknya, Tengku Nor Fazlini kembar kepada Tengku Nor Fazliana dilahirkan normal dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim di Pasir Mas.

Sementara itu, Mohd Rosdi berkata, Umno Tumpat akan membantu dari segi rawatan perubatan Siti Fatimah.

“Kos rawatan itu percuma, saya cadangkan di Hospital Tumpat kerana ia lebih dekat dengan rumahnya,” katanya.

Menurutnya, dia juga akan cuba memohon bantuan rumah PPRT bagi membolehkan Siti Fatimah sekeluarga mempunyai tempat tinggal lebih selesa kerana kini mereka menumpang di rumah adik Siti Fatimah di Pulau Teluk Rejuna.

Sinar Harian 1 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment