April 19, 2016

Sekeluarga makan ikan kering, kicap tahan lapar

Mastita setia menemani suaminya yang terbaring akibat lumpuh separuh badan.

ALOR SETAR - “Bila wang nak beli makanan habis, kami sekeluarga makan ikan kering dan kicap sebagai jalan terakhir untuk hilangkan lapar," demikian kata seorang suri rumah, Mastita Idris, 45, dari Taman Utama, di sini.

Mastita mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga setelah suaminya, Din Mansor, 60, lumpuh separuh badan akibat diserang strok sejak beberapa tahun lalu.

“Dulu, suami pernah bekerja sebagai anggota tentera, bagaimanapun dia terpaksa berhenti kerja selepas disahkan menghidap pelbagai penyakit.

“Berbekalkan hadiah sagu hati diterima ketika itu, suami beli sebuah rumah kos rendah bernilai RM25,000 untuk kami sekeluarga berteduh,” katanya.

Menurut Mastita, suaminya kemudian bekerja sebagai pengawal di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) demi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Bagaimanapun, katanya, malang menimpa mereka apabila tempoh perkhidmatan suami tidak panjang kerana lumpuh separuh badan akibat diserang strok.

Jelasnya, dia mengambil upah menjaga tiga kanak-kanak RM750 sebulan untuk menyara keluarga memandangkan anak perempuannya juga tidak bekerja demi membantu menjaga bapa mereka.

“Upah yang diperoleh tak cukup selepas menjelaskan pelbagai bayaran, termasuk ansuran rumah RM300 yang sudah tertunggak beberapa bulan.

“Sebab tu kami beli ikan kering dan kicap sebagai persediaan sekiranya terputus bekalan makanan seperti sebelum ini," ujarnya sayu.

Walaupun diuji dengan pelbagai dugaan hebat, Mastita tetap setia menemani suaminya yang tidak lagi berupaya mencari rezeki.

Kini, keluarga ini boleh menarik nafas lega selepas Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) meluluskan bantuan bagi meringankan bebanan mereka dalam kunjungan, baru-baru ini.

Kakitangan Jabatan Komunikasi Korporat LZNK, Ahmad Hambali Mohd Puat berkata, bantuan Rawatan Bulanan RM600 sebulan diluluskan untuk membantu mereka.

“Difahamkan keluarga ini hanya bergantung kepada upah si ibu, disebabkan ketua keluarga lumpuh, selain menderita sakit diabetes dan buah pinggang kronik,” katanya.

Sinar Harian 1 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment