April 19, 2016

Tekad berhenti kerja demi anak

Dayang Saniah menziarahi Fatin Shafawani yang terlantar akibat menghidap penyakit tumor otak di rumahnya di Kampung Chawas, Tanah Merah.

TANAH MERAH - Kasih ibu membawa ke syurga. Itulah gambaran betapa besarnya pengorbanan ditunjukkan seorang ibu tunggal di Kampung Chawas, dekat sini, apabila tekad berhenti kerja untuk menjaga anaknya yang menghidap ketumbuhan atau tumor otak.

Walaupun hilang punca pendapatan yang selama ini digunakan untuk menyara keluarga, keputusan berat itu terpaksa diambil Siti Nooraini Yusof, 47, kerana anaknya, Fatin Shafawani Abdul Ghani, 23, memerlukan penjagaan rapi setiap masa.

Selepas kematian suami, Abdul Ghani Mat Lazim pada Januari lalu, akibat penyakit sama, Siti Nooraini yang sebelum ini bekerja sebagai kerani di sebuah kilang papan tiada pilihan selain mengambil keputusan berhenti kerja sejak dua bulan lalu.

Menurut Siti Nooraini, anak sulungnya daripada empat beradik itu memerlukan sepenuh perhatian kerana terlantar di rumah dan terpaksa menggunakan balang oksigen untuk bantuan pernafasannya serta bantuan mesin untuk menyedut kahak.

“Mula-mula mata anak saya jadi tak nampak dan bila buat pemeriksaan pada Mei tahun lepas, doktor sahkan ada ketumbuhan dalam otak. Bila periksa sejarah keluarga, doktor sahkan dia ada penyakit ini atas sebab genetik.

“Sampai hari ini, cukup 10 bulan anak saya tak makan apa-apa kecuali minum susu guna tiub yang disambung melalui hidung. Untuk sehari, dia perlukan satu tin susu 400 gram yang berharga hampir RM40,” katanya, kelmarin.

Siti Nooraini berkata, akibat penyakit dihidapi, Fatin Shafawani gagal menamatkan pengajiannya dalam bidang kewangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kota Bharu yang dijadualkan tamat, Januari lalu.

“Dia sudah di tahun akhir pengajian tetapi hanya sempat belajar satu semester sahaja pada tahun lalu sebelum jatuh sakit. Tetapi keadaannya kini banyak perubahan berbanding sebelum ini kerana dia seorang yang kuat semangat.

“Walaupun terpaksa dijaga sepanjang masa tetapi jika dibandingkan keadaan dia sekarang dengan masa mula-mula dikesan ada penyakit tumor otak seolah-olah mati hidup semula,” katanya.

Tambahnya, dua lagi anaknya masih belajar di tingkatan tiga dan tingkatan lima di sebuah sekolah menengah, di sini, manakala seorang lagi sedang menuntut di Kolej Kesihatan Sungai Buloh, Selangor.

Siti Nooraini berkata, dengan pengalaman lebih 20 tahun menjaga arwah suaminya yang menderita penyakit sama, tiada masalah baginya menguruskan Fatin Shafawani, namun memerlukan bantuan dari segi kewangan.

“Sebelum ini pun, hanya saya seorang bekerja kerana arwah suami tidak dapat bekerja selepas pembedahan kedua pada 2007. Cuma sekarang untuk perbelanjaan harian, saya terpaksa guna wang simpanan hasil bekerja sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Dun Bukit Panau, Dayang Saniah Awang Hamid yang melawat keluarga itu menyatakan rasa terharu dengan pengorbanan Siti Nooraini dan sedih dengan nasib menimpa Fatin Shafawani.

Beliau yang juga Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, masalah keluarga terbabit akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mendapatkan bantuan sewajarnya.

“Sempena lawatan saya bersama pegawai JKM, kita juga sampaikan bantuan segera sebanyak RM300 untuk meringankan beban kewangan keluarga ini bagi menampung keperluan semasa,” katanya.

Sinar Harian 1 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment