April 28, 2016

Putus tangan di ladang ayam

MOHD Syafiq yang kini dirawat di HKL.

Muhammad Apendy Issahak
apendyhmetro.com.my

Ipoh: Tangan kanan pelajar lelaki putus selepas terkena kipas pengudaraan di ladang ternakan ayam di Kampung Ulu Krong, Tanjung Lengkong, Sungai Bayor, Selama, Isnin lalu.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, Mohd Syafiq Mohd Rosdi, 14, turut patah tangan dan kaki kiri serta retak tempurung kepala.

Bapa mangsa, Mohd Rosdi Mat Shohor, 46, ketika dihubungi berkata, anak keduanya daripada tujuh beradik itu dihantar ke Hospital Selama sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping dan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Selasa untuk usaha menyambung kembali tangannya, namun pihak pakar memaklumkan anggota berkenaan sudah tidak boleh disambung semula.

"Apa yang saya tahu dia ke reban ayam terbabit kerana menemankan rakan sekolahnya yang juga anak kepada pemilik reban berkenaan.

"Saya difahamkan ketika kejadian keadaan hujan lebat, namun setakat ini tidak pasti bagaimana Mohd Syafiq boleh disedut oleh kipas berkenaan.

"Anak saya tidak bekerja di reban ayam berkenaan tetapi selalu bertemu dengan rakannya serta sering menolong menangkap ayam dan diberikan sedikit duit poket," katanya yang kini berada bersama anaknya di HKL.

Menurutnya, dia tidak mengetahui punca sebenar kemalangan menimpa anak kedua dari tujuh beradik itu kerana Mohd Syafiq masih mengalami trauma sebaik menyedari tangan kanannya hilang serta tidak dapat menceritakan apa sebenarnya yang berlaku.

"Pada hari kejadian dia dihantar ke Hospital Selama sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping dan pada Selasa doktor mengambil keputusan memindahkannya ke Hospital Kuala Lumpur.

"Tangan kanannya bagaimanapun tidak dapat diselamatkan dan saya sudah kebumikan tangan terbabit di rumah bapa saudaranya di Cheras, Kuala Lumpur pada Selasa lalu," katanya.

Mohd Rosdi berkata, keadaan anaknya itu kini sering meracau apabila menyedari tangan kanannya sudah tiada, namun dia sudah ditempatkan di wad biasa.

"Buat masa ini ramai pihak yang menghubungi kami dan pihak sekolah juga sudah mengetahui mengenai kejadian ini," katanya.

myMetro 28 April 2016


'Abang belum tahu tangannya sudah tiada'

Rozarita dan Rosdi memberikan Mohamad Syafiq minuman ketika ditemui di HKL.

HIDAYAH HAIROM

KUALA LUMPUR - Pelajar sekolah menengah di Perak yang putus tangan kanan setelah disedut mesin pam air, kini dalam keadaan stabil namun masih tidak dapat mengingati kejadian malang yang menimpanya, Isnin lalu.

Mohamad Syafiq Mohd Rosdi, 14, yang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Selasa, telah menjalani rawatan susulan melibatkan luka di bahagian tangan yang putus, dan bakal dihantar semula ke Hospital Taiping, hari ini.

Ibu mangsa, Rozarita Mat Jom, 35, berkata, ketika dibawa ke HKL, anak keduanya yang membahasakan diri sebagai 'abang' itu dalam keadaan sedar namun mengadu sakit.

"Dia masih tidak sedar tangan kanannya sudah tiada. Dia sedar keadaanya cedera teruk, tangan dan kaki kiri patah. Dia tanya, kenapa dia jadi begitu. 'Abang kemalangan ke?' 'Siapa buat abang jadi macam ni?'.

"Namun keadaanya semakin baik dan emosinya agak terkawal hari ini. Dia juga ada selera makan. Menurut laporan doktor, kecederaan mata dan kepalanya juga tiada apa yang membimbangkan,"katanya ketika ditemui Sinar Harian.

28 April 2016


Syafiq stabil tapi kerap menangis

Mohd Rosdi dan isteri sentiasa berada di sisi Mohd Syafiq untuk memberi kata semangat agar anak mereka cepat sembuh.

TAIPING - Pelajar tingkatan dua yang putus tangan kanan setelah disedut mesin pam air, Isnin lalu berada dalam keadaan stabil sebaik selamat menjalani pembedahan di Hospital Taiping, kelmarin.

Bagaimanapun, Mohd Syafiq Mohd Rosdi, 14, dikatakan kerap mengadu sakit dan ada ketikanya menangis sebaik mengetahui keadaannya yang kehilangan sebelah tangan.

Bapa, Mohd Rosdi Md Shohor, 46, berkata, anak kedua daripada tujuh beradik itu sudah mengetahui keadaan dirinya sebenar menyebabkan ada ketika emosinya terganggu.

"Kami cuba tenangkannya agar emosinya stabil dan kini dia dah sedar sebelah tangannya tak ada,” katanya.

Dia bersama isteri, Rozarita Mat Jom, 35, mengakui, tidak dapat menahan sebak setiap kali Mohd Syafiq menangis dan mengadu sakit.

“Kami cuma nak dia pulih cepat dan dapat hidup macam remaja lain, kami akan sentiasa beri sokongan kepadanya untuk terus kuat,” katanya.

Kelmarin, Mohd Syafiq yang dipindahkan dari Hospital Kuala Lumpur ke Hospital Taiping menjalani pembedahan di bahagian tangan dan kaki kirinya yang patah.

Mohd Rosdi berkata, berdasarkan perkembangan kesihatannya, difahamkan Mohd Syafiq akan dibenarkan pulang dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Apa pun kami masih lagi menunggu keputusan doktor, sekarang ni dia selalu mengadu lenguh-lenguh jari dan tangan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam di ladang ternakan ayam di Kampung Ulu Krong, Selama, Isnin lalu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Bayor itu ditemui tersangkut pada belting enjin kubota dan tidak sedarkan diri.

Ketika kejadian, difahamkan pengusaha ladang itu menghidupkan enjin pam air itu untuk mengepam air ke reban ayam, namun dalam tempoh 10 minit kemudian, didapati air tidak sampai menyebabkan lelaki itu kembali ke lokasi dan menjumpai mangsa yang parah.

Selain putus tangan kanan, mangsa patah tangan kiri dan kaki kiri dan mengalami retak tempurung kepala serta lebam mata kanan.

Mangsa yang dihantar ke Hospital Selama dipindahkan ke Hospital Taiping sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Wartawan Sinar Harian
2 Mei 2016


Syafiq dakwa dipukul sebelum kejadian putus tangan

TAIPING 5 Mei – Pelajar lelaki 14 tahun yang putus tangan kanan akibat tersangkut pada tali kipas mesin pam air di sebuah ladang ayam di Sungai Bayor, Selama baru-baru ini mendakwa dipukul dengan objek keras di kepala sehingga pengsan sebelum kejadian tersebut.

Menurutnya, dia menerima pesanan ringkas itu kira-kira pukul 11.00 malam iaitu ketika dia mahu tidur.

“Saya pergi ke tempat yang dijanjikan iaitu di kawasan ladang ternakan ayam dengan menaiki motosikal lebih kurang pukul 11.30 malam namun saya dapati tiada sesiapa di situ.

“Ketika mahu berpatah balik, saya ditarik oleh seseorang sehingga terjatuh dari motosikal dan kepala saya dipukul dengan objek keras lalu tidak sedarkan diri.

“Saya tidak dapat mengecam siapa yang memukul saya kerana kawasan itu gelap, tapi susuk tubuhnya bukanlah sebaya saya, ia kelihatan seperti orang dewasa,” katanya ketika ditemui di Hospital Selama di sini hari ini.

Keadaan Mohd. Syafiq semakin stabil dan dirawat di Hospital Selama sejak dua hari lalu setelah sebelum ini dirawat di Hospital Taiping.

Menurutnya, dia tidak bermusuh dengan sesiapa malah baik dengan semua orang.

Katanya, di sebalik kejadian itu, semangatnya untuk belajar tidak pernah hilang dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh.

‘‘Saya tidak sabar untuk pulang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, bapa Mohd. Syafiq, Mohd. Rosdi Mat Shohor,45, berkata, dia telah dimaklumkan oleh anaknya itu mengenai pesanan ringkas yang diterimanya yang mungkin ada kaitan dengan kejadian yang menimpa anaknya.

Namun, katanya, ketika memeriksa telefon bimbit anaknya, pesanan ringkas yang dikatakan itu didapati sudah dipadamkan.

“Saya telah membuat laporan polis mengenai perkara ini dan polis akan mengambil keterangan daripada anak saya apabila keadaannya stabil,” katanya. - UTUSAN ONLINE

05 Mei 2016 


0 comments:

Post a Comment