April 28, 2016

Putus kaki kemalangan tiga kenderaan

KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba

Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

Bentong: Kelindan lori putus kaki kiri selepas kenderaan dinaikinya terbabit kemalangan dengan kereta dan motosikal di Kilometer 53, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Bentong, pagi tadi.

Dalam kejadian 11.27 pagi itu, mangsa warga Myanmar, Thein Hlaing, 42, putus pergelangan kaki kiri manakala pemandunya, Mohd Faizal Zainudin, 30, dari FELDA Sebertak, Triang, Bera, hanya mengalami kecederaan ringan.

Pemandu kereta, Lee Wai Kyan, 39, dari Kepong, Kuala Lumpur, tidak mengalami kecederaan manakala penunggang motosikal, Mohamad Zulkifli Che Wan, 24, dari Bentong cedera di muka dan patah kaki.

Difahamkan, lori membawa muatan tong gas itu hilang kawalan lalu terbabas ke kiri merempuh tembok batu namun berpusing masuk ke laluan asal sebelum pemandu dan penunggang motosikal merempuh kenderaan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, semua mangsa yang cedera dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bentong dan dikejarkan ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan.

"Siasatan awal mendapati, kejadian itu dipercayai berpunca akibat masalah stereng lori yang tiba-tiba rosak sebelum pemandunya hilang kawalan dan terbabas," katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, polis sudah mengambil keterangan mangsa untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 28 April 2016


Kutip kaki putus

KEADAAN lokasi kemalangan di Lebuhraya Karak berhampiran RnR Lanchang.

Shahrul Nizam Mohamad dan Mohd Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my

Karak: Orang ramai terpaksa mengutip kaki kiri kelindan lori yang putus akibat kemalangan sebelum memasukkannya ke dalam kotak.

Dalam kejadian kemalangan jam 11.27 pagi semalam, mangsa kelindan lori, Thein Hlaing, 42, hilang kaki kiri sejurus lori dinaiki hilang kawalan di Lebuhraya Karak berhampiran Rehat dan Rawat (RnR) Lanchang, di sini.

Mangsa dikatakan berada di sebelah pemandu lori yang membawa muatan tong gas dalam perjalanan menghala Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, siasatan pihaknya mendapati lori dipandu Mohd Faizal Zainudin, 30, hilang kawalan berikutan mengalami masalah teknikal pada stereng sebelum merempuh tembok batu di bahagian kiri lebuh raya.

“Lori itu berpusing dan masuk semula ke lebuh raya di lorong kanan. Pada masa sama kereta Volkswagen Polo dan motosikal yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak sebelum merempuh lori,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, insiden itu menyebabkan kaki kelindan lori itu tersepit pada badan lori ketika kenderaan itu merempuh tembok batu yang berada di kiri jalan.

“Turut cedera dalam kemalangan itu penunggang motosikal Yamaha LC yang dikatakan tidak sempat mengelak lori berkenaan menyebabkan lelaki itu cedera pada muka dan patah kaki.

“Penunggang motosikal Mohamad Zulkifli Che Wan, 24, dari Bentong cedera di muka dan patah kaki. Manakala pemandu lori dan pemandu kereta hanya cedera ringan. Semua mangsa dihantar ke Hospital Bentong,” katanya.

Menurutnya, kemalangan berpunca daripada pemandu lori yang gagal mengawal kenderaannya.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu pelukis pelan, Azmi Awang Ngah, 40, yang memandu kereta terselamat apabila sempat mengelak tong gas yang bertaburan di atas jalan sejurus kemalangan.

Katanya, lori itu terbabas ke kiri merempuh tembok batu, namun berpusing masuk semula ke laluan asal sebelum pemandu dan penunggang motosikal merempuh kenderaan berkenaan.

“Saya memandu berhati-hati bagi mengelak melanggar tong gas yang bertaburan di atas jalan sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur,” katanya.

myMetro 29 April 2016






0 comments:

Post a Comment