April 19, 2016

Korban air terjun Lubuk Kain

Pasukan Bomba dan Penyelamat membawa mayat mangsa ke kawasan sejauh 300 meter dari lokasi mayat ditemui untuk diserahkan kepada pihak polis.

DUNGUN - Seminggu selepas tragedi seorang pelajar maut di kawasan perkelahan Air Terjun Cemerong, insiden sama berulang di Sungai Bagan, Kampung Syukur, di sini, kelmarin apabila penuntut sebuah kolej swasta di Kemaman mati lemas di kawasan Lubuk Kain.

Mangsa, Muhammad Yazid Yasril, 20, maut setelah terjun di lubuk berkedalaman kira-kira 10 meter itu, yang dipercayai kawasan berbahaya di sungai berkenaan bukan hanya kerana kedalaman airnya, tetapi terdapat juga pusaran air di lubuk itu.

Rakan mangsa, Muhammad Nabil Zamri, 20, memberitahu, dia bersama 12 rakan pergi ke kawasan perkelahan itu untuk menghabiskan cuti hujung minggu, namun tidak menyangka ia akan berakhir dengan tragedi.

Menurutnya, mereka tiba di lokasi berkenaan pada kira-kira jam 10.30 pagi dan pada awalnya memilih kawasan cetek untuk mandi manda, sebelum dia bersama mangsa dan seorang lagi rakan, Muhd Husni, mengambil keputusan melihat Air Terjun Lubuk Kain lebih dekat.

"Kira-kira jam 2.30 petang, kami panjat bukit untuk ke air terjun, tapi di pertengahan jalan, Muhd Husni patah balik kerana kepenatan. Saya bersama Muhammad Yazid panjat sehingga sampai ke atas sebuah batu besar di Lubuk Kain.

"Semasa berada atas batu itu, saya nak terjun tapi berasa takut kerana air lubuk kelihatan dalam. Muhammad Yazid kata biar dia terjun dulu, kemudian dia akan beritahu keadaan air. Dia terus terjun tanpa sempat saya pesan apa-apa," katanya.

Katanya, mangsa timbul kembali dalam keadaan tercungap-cungap dan hanya menggelengkan kepala tanda keadaan tidak baik dan berbahaya kemudian terus tenggelam kembali dan hilang.

Tambahnya, melihat rakannya itu sudah tidak kelihatan, dia segera terjun untuk membantu tetapi arus deras di lubuk itu menggagalkan usahanya, malah dia juga hampir tenggelam namun bernasib baik kerana sempat diselamatkan oleh penduduk kampung.

"Arus air memang deras. Saya cuba selamatkan diri ketika itu tetapi ditarik kembali ke tengah oleh arus air. Saya hanya sedar kaki saya dipegang orang kampung dan ditarik ke tebing sungai," katanya.

Lubuk Kain digeruni

Mayat mangsa yang merupakan pelajar tahun akhir Ranaco Education & Training Institute, Kijal. Kemaman itu ditemui di dasar sungai oleh seorang pemuda kampung berkenaan, Mohd Suffian Mat Noor, 31, dan dibawa naik ke darat menggunakan tali.

Ketika ditemui, Mohd Suffian memaklumkan, dia datang ke sungai berkenaan untuk mandi manda dan dimaklumkan oleh anak saudaranya mengenai seorang remaja lemas di Lubuk Kain, lalu kembali ke rumah untuk ambil peralatan diperlukan termasuk tali.

"Saya sampai ke Sungai Bagan pada kira-kira jam 3 petang dan ketika itu suasana kelam-kabut berikutan kejadian berkenaan. Selepas bawa peralatan penting, iaitu gogel untuk menyelam dan tali, saya bersama seorang rakan terjun ke dalam lubuk.

"Kami temui mayat mangsa tersangkut di celah batu di dasar sungai lalu mengikat pinggang dengan tali dan berjaya bawa mayat remaja itu naik ke darat walaupun keadaan agak cemas serta berbahaya," katanya.

Menurut Mohd Suffian, mereka mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menemui dan menaikkan mayat berkenaan serta memaklumkan, Lubuk Kain sememangnya berbahaya dan pernah berlaku kejadian lemas sebelum ini.

"Bukan sahaja paras air di lubuk itu dalam, malah terdapat pusaran air di situ. Penduduk di sini memang tahu keadaan di sungai ini dan kebiasaannya tiada siapa berani mandi di Lubuk Kain. Mangsa dan rakan-rakannya mungkin tidak tahu betapa bahaya keadaan di lubuk ini," katanya.

Disahkan mati lemas

Selepas dinaikkan ke darat, mayat mangsa yang berasal dari Gombak, Kuala Lumpur diserahkan kepada pihak bomba untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Jas Wari Awang @ Muhamad berkata, mayat mangsa sudah ditemui dan dinaikkan ke darat ketika dia dan pasukannya tiba di lokasi kejadian.

"Selepas mayat mangsa diserahkan, pasukan bomba melaksanakan tugas seterusnya iaitu memindahkan mayat dalam jarak 300 meter dari tempat dijumpai kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

"Hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa dan dia disahkan mati lemas. Jenazah mangsa telah diserahkan kepada ahli keluarganya," katanya.

Sinar Harian 4 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment