April 19, 2016

Dirempuh depan anak isteri


Keadaan kereta mangsa dan bas yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.

REMBAU – Hajat seorang lelaki untuk menukar tayar belakang kanan keretanya yang pancit tidak kesampaian apabila dia dirempuh sebuah bas persiaran di Kilometer 232.4 Lebuhraya Utara - Selatan (arah Utara), di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, dua anak mangsa serta isteri berada di luar kenderaan dan melihat mangsa, S Sanmugaveloo, 52, cuba menukar tayar kereta jenis Mercedes Benz berkenaan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif berkata, ketika kejadian mangsa cuba mengelak dari dirempuh oleh sebuah bas persiaran yang bergerak di lorong paling kiri.

“Bagaimanapun, bas yang membawa penumpang dari Melaka ke KLIA itu hilang kawalan lalu merempuh terlebih dahulu mangsa yang cuba mengelak sebelum melanggar bahagian tepi kanan kereta mangsa yang berada di lorong kecemasan.

“Susulan kemalangan itu, mangsa yang beralamat di Taman Permata, Ipoh, maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian anggota badan,” katanya, di sini, semalam.

Ibrahim berkata, terdapat kesan remuk di bahagian tepi kanan kereta mangsa yang merupakan seorang peniaga dan juga bahagian kiri hadapan serta tepi bas persiaran berkenaan.

Menurutnya, mayat mangsa di bawa ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat kelmarin (semalam).

“Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sinar Harian 4 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment