April 25, 2016

Kes ketiga pelajar dipatuk ular

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Rembau: Seorang lagi pelajar lelaki tingkatan empat dipatuk ular ketika membersihkan ladang ternakan ayam terbiar berhampiran sebuah sekolah menengah teknik di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, remaja berusia 16 tahun terbabit dikatakan menyedari kehadiran seekor ular ketika sedang membersihkan kawasan itu dan cuba menangkapnya sebelum dipatuk pada lengan kirinya.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, sejam selepas kejadian mangsa muntah dan pengsan sebelum dihantar oleh ahli keluarganya ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

"Pemeriksaan doktor mendapati ada kesan lebam akibat patukan ular pada lengan kiri mangsa. Mangsa bagaimanapun dilaporkan stabil dan dibenarkan keluar wad hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kejadian itu adalah kes ketiga dilaporkan di negeri ini selepas kes pertama yang berlaku pada 20 April lalu membabitkan murid perempuan tahun dua Sekolah Kebangsaan Chembong dan kes kedua membabitkan seorang pelajar lelaki tingkatan tiga Sekolah Menengah Dato Abdul Razak, Seremban, kelmarin.

myMtero 25 April 2016

0 comments:

Post a Comment