April 25, 2016

Dapat perhatian


KEADAAN pesakit HIV yang terlantar sendirian.

Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kisah lelaki pesakit HIV yang hidup sebatang kara di flat Desa Mutiara, di sini, menerima perhatian pelbagai pihak yang bergotong-royong membersihkan tempat tinggalnya itu, semalam.

Seorang jiran, Zariman Md Zain, 25, berkata, lelaki terbabit yang dikenali sebagai Ian menerima kunjungan wakil Jabatan Kesihatan dan wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar Johor.

Menurutnya, ada antara mereka bergotong-royong membersihkan kediaman lelaki berkenaan.

“Saya yakin keadaan lelaki itu kini lebih selesa berbanding sebelum ini. Kami juga mengharapkan ibunya pulang bagi menjaganya supaya keadaannya terurus dan usaha menghubungi ibunya juga buntu apabila tidak menjawab panggilan telefon.

“Sebagai jiran, kami berterima kasih kepada semua yang membantu lelaki berkenaan,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan pengorbanan seorang lelaki yang sanggup membantu jirannya yang juga penghidap HIV.

Zariman mengetepikan perasaan takut dan menghulurkan bantuan atas dasar perikemanusiaan kerana tidak sanggup melihat lelaki berkenaan kebuluran.

myMetro 2 April 2016


Tinggal tulang saja

KEADAAN Ian yang tak terurus.

Johor Bahru: “Saya sedar risiko dijangkiti penyakit memandangkan keadaan Ian semakin teruk, namun saya terpaksa mengetepikan perasaan takut dan melakukan semua ini atas dasar perikemanusiaan kerana tidak sanggup melihatnya kebuluran,” kata Zariman Md Zain, 25, penghuni Flat Desa Mutiara, di sini.

Ketika ditemui semalam, Zariman berkata, keadaan tubuh jirannya yang berusia 40-an tiada beza seperti mayat hidup kerana hanya tinggal tulang dan kulit.

Menurutnya, sejak setahun lalu, Ian yang juga positif HIV tinggal sebatang kara biarpun sebelum ini lelaki berkenaan dijaga ibunya.

“Memang kehadiran Ian menjejaskan keselesaan penduduk apabila keadaannya terbiar, berbau dan kediamannya kelihatan seperti tidak berpenghuni kerana sampah di merata-rata tempat.

“Namun sebagai jiran, kami tidak pernah mengabaikan dan memastikan bekalan makanan dan minumannya tidak terputus.

“Kami terkilan apabila ada pihak menyebarkan cerita Ian di laman media sosial, sejak kelmarin seolah–olah kebajikan Ian terabai, bahkan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Rosle Abd Rashid berkata, sebelum ini, ada penduduk yang turut membantu pesakit itu untuk mendapatkan rawatan di hospital berhampiran, namun selepas selesai rawatan, dia pulang ke rumah berkenaan.

Pihaknya berharap ada pihak yang membantu membersihkan kediaman pesakit itu selain menawarkan rawatan kepadanya.

“Kami juga berharap tiada pihak yang menyebarkan kisah yang kurang tepat berkaitan Ian kerana ia menyinggung perasaan jiran biarpun selama ini, kami mengambil berat mengenai lelaki itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya masih berusaha bagi mengesan ibu lelaki berkenaan.

“Kami juga akan memantau keadaan lelaki berkenaan serta menghantar kakitangan perubatan untuk memeriksa tahap kesihatannya.

“Dalam masa sama juga saya mengingatkan jiran yang membantu lelaki itu supaya berhati-hati bagi mengelak mereka dijangkiti. Bagaimanapun sikap mereka itu amat terpuji,” katanya.

myMetro 1 April 2016




0 comments:

Post a Comment