March 3, 2016

Warga emas mengaku cabul gadis

Melaka: Seorang lelaki warga emas didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, selepas mengaku salah atas tuduhan mencabul kehormatan seorang gadis, Februari lalu.

Pengakuan itu dibuat tertuduh Lee Kim, 65, dihadapan Majistret Analia Kamaruddin selepas mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 26 tahun dengan merangkul kepala, memeluk serta mencium pipi mangsa di hadapan sebuah kedai salon di Krubing Indah, di sini, pada jam 1.30 tengahari, 26 Februari lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau dengan denda, atau sebat atau mana-mana dua daripadanya.

Ketika prosiding, tertuduh yang diwakili pelatih dalam kamar (PDK) merayu anak guamnya hanya dikenakan hukuman denda kerana faktor usia selain mempunyai isteri untuk ditanggung dan tidak lagi berkerja.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Syazreen Nadia Saaban memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Majistret Analia memerintahkan tertuduh membayar denda RM2,000 atau penjara dua minggu jika gagal menjelaskan denda tersebut.

myMetro 3 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment