March 4, 2016

'Dahlah tidur pun bergilir'

Ahmad hanya mampu terbaring selepas lumpuh sebelah badan dan kedua kakinya dipotong.

Simpang Ampat: Bukan saja menderita akibat kudung kedua kaki sehingga paras lutut, nasib malang terus menimpa seorang warga emas apabila bahagian kiri badannya pula lumpuh selepas terjatuh.

Ahmad Bakar, 70, hanya mampu menggerakkan tangan kanan bagi urusan harian menggunakan troli, selain berbaring di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Taman Sejahtera Rakyat, di sini, sejak Ogos lalu.

Ketika tiba di rumahnya semalam, Ahmad dilihat terbaring dengan hanya memakai lampin pakai buang ekoran keadaan panas dan tidak selesa di rumahnya yang dikongsi bersama lima anak dan seorang cucu.

Malah keadaan rumahnya sempit bertambah sesak jika semua ahli keluarganya berada dalam kediaman itu.

Difahamkan, dua anak perempuan dan tiga anak lelaki Ahmad berusia 17 hingga 33 tahun tidur bergilir kerana rumah mereka sempit, selain terpaksa menjaganya yang tidak dapat bergerak sendiri.

Ahmad berkata, dia malu keadaannya, namun terpaksa meminta pertolongan kerana hanya mampu menggerakkan satu tangan saja.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana hanya boleh menggerakkan kepala dan tangan kanan sahaja berikutan bahagian kiri badan lumpuh.

“Malah saya tidak boleh berbaju kerana keadaan rumah terlalu panas membuatkan saya rasa tidak selesa,” katanya.

Menurutnya, ramai yang mencemuh kononnya dia terlalu berharap kepada bantuan kerajaan dan orang ramai semata-mata.

Dia berkata, akibat sakit diabetes, kaki kanan dipotong pada 2012 sebelum kaki kiri pula dipotong tahun lalu.

“Saya sudah lakukan apa yang termampu, malah ketika kudung satu kaki pada 2012, saya yang memakai kaki palsu masih boleh berkebun dengan menanam cili.

“Tiga tahun selepas itu, kaki kiri saya pula dipotong dan lebih memburukkan keadaan, bahagian kiri badan pula lumpuh akibat jatuh baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, jika mahu bergerak, dia akan didukung anaknya atau disorong di atas troli yang dibeli mereka.

“Siapa tidak sedih apabila ditimpa musibah sebegini, namun saya reda dan menganggap ia ujian kepada saya.

“Ditambah keadaan ini, saya terpaksa membesarkan empat anak yang tidak bekerja,” katanya.

Ahmad berkata, dia meminta bantuan bulanan daripada pihak berwajib dan menunggu keputusan mereka.

Jurucakap ZPP berkata, pihaknya melalui ‘Team Peduli Asnaf’ membuat lawatan berkenaan kes itu kelmarin dan akan memberikan bantuan sewajarnya kepada Ahmad.

myMetro 2 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment