March 20, 2016

Warga emas maut kemalangan


Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas dirempuh kereta.

CHEMOR – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Kuala Kangsar berhampiran Bandar Baru Seri Klebang, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, mangsa, Zainal Yasin, 65, yang berasal dari Taman Klebang Jaya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang dari arah Chemor ke Ipoh dipercayai mengubah haluan dari kiri ke kanan jalan secara tiba-tiba.

“Ketika itu, kereta yang dipandu lelaki berusia 43 tahun berada di lorong kanan dari arah sama gagal mengelak lalu terlanggar mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Sinar Harian 18 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment