March 20, 2016

Warga Jepun ditemui mati dalam rumah

FOTO Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Misteri kehilangan majikan warga Jepun terjawab apabila mayatnya ditemui di bilik di rumahnya di Taman Desa, di sini, semalam.

Menurut sumber, pekerja warga Jepun itu cuba menghubungi majikannya sejak 7 Mac lalu, bagaimanapun usahanya gagal sebelum dia ke rumah mangsa.

"Sudah hampir tujuh hari kenderaan mangsa tidak bergerak dan telefon bimbitnya gagal dihubungi. Curiga dengan kejadian berkenaan, lelaki (pekerja) itu datang ke rumah mangsa sebelum terhidu bau busuk dari luar.

"Dia (pekerja) mengesyaki sesuatu buruk terjadi dan terus menghubungi bomba untuk membantu membuka pintu rumah mangsa," katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat Seputeh Zulkifli Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.16 malam.

"Anggota bomba memecahkan pintu hadapan rumah warga Jepun itu dan selepas pemeriksaan dijalankan kami menjumpai mayat seorang lelaki dalam keadaan tidak berpakaian di bilik hadapan rumah berkenaan.

"Susulan itu, mayat diserahkan kepada Unit Forensik untuk siasatan lanjut," katanya.

myMetro 18 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment